KEJAYAAN merealisasikan konsert GenKRU selama empat malam pada Mei lalu sebelum beraksi pula di Singapura merupakan sejarah dalam penganjuran persembahan mega di negara ini.
Namun fenomena yang dicetuskan trio ikonik, KRU bersama penganjur, Icon Entertainment nyata belum berakhir apabila masih ramai penggemar tegar ingin menyaksikan Datuk Norman Abd. Halim, Datuk Yusry dan Edry beraksi buat kali terakhir tahun ini.
Stadium terbuka
Atas permintaan ramai, konsert GenKRU The Finale: One More Time bakal direalisasikan di venue lebih besar dan terbuka iaitu Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 22 November depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Icon Entertainment, Iman Tang berkata, persembahan penutup 2025 itu bakal menjadi pentas perpisahan paling epik bagi meraikan lebih tiga dekad perjalanan muzik KRU.
“Pastinya ini merupakan konsert ikonik yang bukan sahaja direalisasikan bagi memenuhi permintaan ramai yang sebelum ini gagal mendapatkan tiket, malah dapat menikmati pengalaman berbeza.
“Judul konsert One More Time juga mempunyai signifikasi tersendiri yang melambangkan peluang terakhir buat peminat, selain merupakan antara lagu dalam album terbaharu mereka, Kaset.
“Bagi saya selaku penganjur, melihat energi tiga bersaudara ini sepanjang beraksi selama empat malam berturut-turut tempoh hari, nyata fenomena KRU belum berakhir,” katanya pada majlis pengumuman konsert tersebut, baru-baru ini.
Bakal menghimpun 12,000 penonton, Norman berjanji persembahan mega itu nanti akan memberi pengalaman berbeza kepada pengikut setia mereka.
Aksi epik
Katanya, GenKRU The Finale: One More Time dianggap sebagai usaha re-imagine daripada lokasi tertutup kepada terbuka, dengan skala lebih besar berbanding penganjuran terdahulu.
“Antara perkara yang dipersetujui ialah pentas, set dan produksi kali ini lebih besar, lokasi juga luas, sekali gus atas semua faktor serta sokongan, kami yakin dapat memberikan persembahan mantap.
“Sama ada akan panggil penyanyi jemputan, kita tunggu nanti tetapi apa yang boleh dikatakan adalah antara faktor jenama KRU teguh adalah dengan kerjasama kami bersama ramai penyanyi,” katanya.
Norman juga mahu menyuntik nafas baharu dengan pilihan lagu berbeza serta artis jemputan yang mampu menambah warna pada persembahan selain beliau tidak menolak kemungkinan menampilkan penghibur legenda, Anita Sarawak.
“Siapa tahu kalau ada rezeki. Itu antara sasaran kami sebab Anita Sarawak idola yang luar biasa. Tapi saya tak boleh janji, jika dapat itulah kejutan besar.
“Apa pun kami sasarkan yang terbaik. Ada artis memang hebat, cuma mungkin sudah lama tidak aktif. Jadi kami pun tak mahu mereka berada dalam situasi tidak bersedia,” katanya.
Sebelum ini, Anita yang dilaporkan tinggal di Las Vegas sejak beberapa tahun lalu pernah bernaung di bawah KRU Records dari 2003 hingga 2010.
Mengenai tempahan tempat duduk di Stadium Hoki Nasional itu, tiket ditawarkan pada harga antara RM188 hingga RM558 menerusi laman ticket2u.com.my.
Siri konsert GenKRU yang berlangsung pada 3, 4, 10 dan 11 Mei lalu mencipta sejarah apabila meraih dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR), Jumlah Persembahan Terbanyak Dalam Satu Siri serta Tiket Terjual Paling Pantas’ apabila habis dalam tempoh sejam.