PENYANYI Aisha Retno mendedahkan dirinya tiba-tiba pengsan apabila mengalami serangan panik di belakang pentas ketika pentas akhir Talk To My Manager (TTMM), semalam.
Namun, Aisha atau nama penuhnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, memaklumkan dia kini berada dalam keadaan stabil walaupun masih belum pulih sepenuhnya.
“Ada di situ dengan penuh semangat meskipun ‘tumbang’ seketika (pengsan). Kepada yang bertanya, saya tidak berada di hospital sebab saya enggan ke sana.
“Alhamdulillah, pengsan mengejut dan sedikit serangan panik tadi (semalam) hanya berlangsung selama beberapa jam sahaja.
“Sekarang saya sudah sedar walaupun belum pulih sepenuhnya,” katanya dalam hantaran InstaStory.
Pelantun lagu Sutera itu turut memohon maaf kerana belum sempat membalas mesej mereka yang prihatin terhadap dirinya, selain memohon orang ramai mendoakan kesejahteraannya.
“Saya sedang berehat sekarang, maaf kerana belum dapat membalas mesej tapi insya-Allah saya akan jawab apabila sudah kuat sikit untuk bangun dan berjalan.
“Doakan kesihatan saya ya dan saya juga mendoakan agar semua yang menonton berada dalam keadaan sihat sentiasa, kesihatan memang keutamaan,” tuturnya.
Selain itu, Aisha juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah buat anak penyanyi Liza Hanim, Marsya yang dinobatkan sebagai juara TTMM.
“Alhamdulillah, tahniah atas kemenangan sayangku Marsya. Satu penghormatan dapat berkongsi malam kemenangan bersama awak.
“Seronok sangat dapat buat susunan muzik dan menyanyi bersama. Memang dia bintang sedang bersinar, sangat mudah dan rendah diri untuk bekerjasama.
“Terima kasih juga kepada Liza Hanim kerana menjemput saya,” jelasnya.
Semalam, Aisha tampil sebagai penyanyi jemputan yang berduet dengan Marsya menerusi lagu Lay Me Down nyanyian asal Sam Smith.
Pentas Grand Finale TTMM turut menyaksikan pasangan Shuib dan Thalita dinobatkan sebagai naib juara, diikuti Sharifah Shahirah dan Auddra di tempat ketiga.
Sementara itu, Ameng dan Ammar serta Ina Naim dan Hadie masing-masing di tempat keempat dan kelima, manakala Siti Saerah dan Amad berpuas hati di kedudukan keenam. – HIBGLAM