Amylea Azizan sah bercerai, kini selesai idah

TIADA  angin tiada ribut, pelakon Amylea Azizan mengesahkan rumah tangganya bersama Mohammad Aqbar Mohamad sudah berakhir selepas tiga tahun usia perkahwinan.

Enggan mengulas lanjut mengenai punca perpisahan, Amylea, 38, memaklumkan sudah selesai melalui tempoh idah dan masih mengekalkan hubungan baik dengan bekas suaminya.

“Assalamualakum, berat rasa hati untuk memaklumkan yang saya bukan lagi isteri kepada Mohammad Aqbar Mohamad. Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana tidak mahu mengaibkan mana-mana pihak.

“Saya sangat hormati dan sayangi ibu mentua serta seluruh keluarga bekas suami dan anak-anak tiri saya.

“Kami masih berhubungan baik. Saya sudah lama tamat idah dan dalam keadaan sejahtera,” katanya dalam hantaran Instagram.

Pada masa sama, pelantun lagu Tak Pernah Hilang itu berharap agar insan-insan tersayangnya tidak melalui kesedihan seperti yang dialaminya.

“Saya doakan kesedihan seperti saya tidak akan berulang kepada orang-orang yang saya sayangi.

“Sesungguhnya saya ikhlas dalam perkahwinan kami dan sekarang reda dengan takdir Allah.

“Doakan saya. Berita ini tak sepenting hal yang berlaku di dunia tapi saya hanya nak mengelakkan fitnah,” ujarnya.

Bagaimanapun, Amylea tidak mendedahkan tarikh sebenar perceraian mereka.

Sebelum ini, Amylea mendirikan rumah tangga dengan Aqbar atau lebih dikenali sebagai Ash pada 27 November 2023. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok