“LAPORAN hasil pemeriksaan pasukan medik menunjukkan Amad tiada sebarang masalah kesihatan.”
Itu jawapan Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad tentang apa sebenarnya yang berlaku kepada finalis Grand Finale Talk To My Manager (TTMM), yang rebah dan pengsan sebelum dan selepas membuat persembahan.
Menurut Raqim, pasukan perubatan telah melakukan pemeriksaan terhadap kanak-kanak berusia 13 tahun itu dan mendapati tiada masalah kesihatan seperti seperti demam dan sebagainya.
“Daripada segi kesihatan, Amad tiada apa-apa masalah. Itu apa yang disahkan oleh pihak medik sendiri. Cuma sebelum dia membuat persembahan, mungkin dia alami sedikit ketidakselesaan.
“Sebelum itu dia okey sahaja dan tidak mengalami demam atau sakit. Apa yang terjadi padanya di atas pentas berlaku dengan secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui pada sidang media Grand Finale Talk To My Manager, di sini, semalam.
Tambah Raqim lagi, selepas Amad rebah sebelum membuat persembahan, pihak produksi telah berbincang dengan pengurusnya iaitu Siti Sairah sama ada mereka mahu meneruskan persembahan.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad mendedahkan Amad tidak berdepan sebarang masalah kesihatan.
“Kami nak pastikan dia betul-betul okey. Bila kami berbincang dengan pihak manager dan artis, kami serahkan kepada mereka untuk membuat keputusan untuk teruskan ataupun tidak kerana mereka yang bertanding.
“Kami di TTMM memang mengutamakan kesihatan semua peserta dan manager. Kami nak pastikan mereka semua betul-betul fit.
“Bila mereka pilih untuk teruskan persembahan, kami hormat keputusan mereka. Namun apa yang anda lihat di atas pentas, itulah yang terjadi,” jelasnya.
Disebabkan tidak dapat membuat persembahan dengan baik, Siti Saerah dan Amad hanya mampu berpuas hati berada di kedudukan keenam.
Juara TTMM menjadi milik pasangan Liza Hanim dan Marsya Qistina. Naib juara pula menjadi milik Shuib dan Thalita manakala tempat ketiga Sharifah Shahirah dan Auddra.
Pasangan Ameng dan Ammar serta Ina Naim dan Hadie masing-masing berada di tempat keempat dan kelima.
Terdahulu, keadaan Amad yang tiba-tiba seperti diserang kesakitan di atas pentas menimbulkan situasi cemas kerana perkara itu berlaku ketika dia sedang bersiap sedia di atas pentas untuk membuat persembahan secara langsung.
Disebabkan itu, pengurus pentas membawa dia keluar daripada pentas sebelum Amad kembali semula untuk membuat persembahan.
Namun dia dilihat bergelut dengan kesakitan sewaktu membuat persembahan sehingga menangis dan ditenangkan oleh hos, Datuk Aznil Haji Nawawi. – HIBGLAM