SEDIH dan terkilan, bapa kepada penyanyi cilik Amad iaitu Saiful Anuar mendedahkan tidak dapat hadir ke program realiti Talk To My Manager (TTMM) bagi memberi sokongan kepada anaknya.
Bagaimanapun, Saiful tetap menitipkan doa agar kejayaan berpihak kepada Amad yang kini melangkah ke pentas akhir rancangan berkenaan.
“Semoga kejayaan milik kami walaupun babah dibelakangkan dan tak dapat hadir ke majlis besar kamu.
“Tapi doa buat anak babah dan percaya bukan sekadar hari ini tapi hari-hari yang mendatang itu pastI akan terjadi.
‘Deep’ (mendalam) kan, jadi renungan kita bersama,” katanya dalam Threads.
Berdasarkan tanda pagar yang disertakan, Saiful dipercayai tidak dapat menghadirkan diri ke TTMM disebabkan ketiadaan tiket.
“Tiket tiada nak pergi macam mana kan,” tulisnya dalam bentuk tanda pagar.
Sebelum ini, hantaran Saiful dalam Instagram mencetuskan spekulasi ramai tentang konflik yang melanda dalam keluarga ini.
Saiful mendedahkan tidak dapat berjumpa dengan anaknya serta mendakwa ada pihak yang cuba mengerah dan mengambil wang hasil titik peluh anak-anaknya
Bagaimanapun, Saiful menafikan hantaran tersebut ditujukan kepada bekas isterinya iaitu Siti Saerah. – KOSMO! ONLINE