SHEILA Dara, sepotong nama yang tidak asing dalam dunia perfileman Indonesia.
Namanya mula meledak selepas membintangi beberapa drama dan filem seperti Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini dan Noktah Merah Perkahwinan.
Kini, namanya layak diletakkan sebaris dengan aktres papan atas di Indonesia selepas wataknya sebagai Sore dalam filem Sore: Isteri Dari Masa Depan meraih pujian ramai sehingga menarik jutaan penonton ke pawagam.
Mungkin bagi sesetengah, populariti mengubah seseorang artis membuat pilihan, namun pemilik nama penuh Sheila Dara Aisha itu tidak pernah cerewet dalam menerima mana-mana tawaran. Tinggal lagi, dia meletakkan kriteria tertentu bagi memastikan hasil yang diberikan setimpal.
“Secara dasar, saya bukan pelakon yang terlalu memilih karya. Bagaimanapun, saya mencari naskhah yang boleh saya pelajari banyak perkara.
“Lebih mencabar sesebuah karakter, lebih banyak ilmu akan dikutip selain memberi kepuasan kepada diri sendiri,” kata dalam pertemuan usai tayangan gala filem Sore: Isteri Dari Masa Depan baru-baru ini.
Tentang kesukaran watak Sore yang perlu melakukan babak berulang kerana melalui rentas masa, dia mengakui filem tersebut antara yang paling sukar pernah dijalaninya setakat ini.

WATAK Sore mengajar Sheila untuk menjadi isteri yang lebih menghargai suami sendiri.
Sheila bahkan pernah ragu-ragu dengan kemampuan sendiri untuk berperanan sebagai Sore bawah arahan Yandy Laurens.
“Buat masa ini, Sore paling sukar. Pertama kali baca skrip, buat saya terfikir sama ada mampu atau tidak untuk melakukannya.
“Saya bimbang tidak mampu berikan seperti yang dikehendaki pengarah dan penulis skrip, tetapi syukur diberikan tempoh persediaan yang lama iaitu sekitar dua bulan.
Syukur tidak sukar cari keserasian dengan Dion, pengarah juga banyak membantu saya untuk memahami karakter Sore dengan baik.
“Dari situ, semua kepingan ‘puzzle’ disatukan sehingga dapat satu gambaran yang utuh,” katanya lagi.
Selain menjiwai watak Sore, filem tersebut juga menuntutnya untuk fasih berbahasa Croatia.
“Saya mengikuti kelas selama sebulan iaitu 10 sesi untuk mempelajari bahasa Crotia. Sebenarnya tidak belajar terlalu mendalam sebaliknya sekadar memahami dialog dan cara sebutan yang betul.
“Ini bukan inisiatif sendiri sebaliknya tuntutan watak yang sekitar 30 peratus dialog Sore mengggunakan bahasa Croatia,” jelas isteri kepada penyanyi, Vidi Aldiano itu.
Berperanan sebagai tunjang utama dan watak paling berat sepanjang kerjaya seni, Sore mengajarnya menjadi individu yang lebih menghargai semua perkara dalam hidup.
“Sore mengajar untuk menghargai hal-hal kecil, termasuk mengucapkan selamat pagi kepada pasangan kerana kita tidak tahu sapaan itu mungkin mengurangkan beban yang ditanggung mereka.
“Filem ini juga menjadikan saya seorang isteri yang berbangga dan lebih menghargai suami.
Terima kasih untuk watak ini, buat saya lebih buka mata dan tidak lagi meremehkan segala perkara kecil dalam hidup,” kongsinya yang juga seorang penyanyi.
Selain Sheila, naskhah yang adaptasi dari drama bersiri dengan tajuk sama tersebut turut dibintangi Dion Wiyoko yang memegang watak sebagai Jonathan. – HIBGLAM