‘Kena hidup dalam dunia dia, bukan ubah dia jadi kita’

LEBIH tujuh tahun berkelana di United Kingdom demi pendidikan terbaik buat permata hati, penerbit dan komposer Edry Abdul Halim menyifatkan keputusan berhijrah ke Manchester sebagai berbaloi.

Putera ketiganya, Emery, 17, yang autistik iaitu Gangguan Spektrum Autisme dengan tiada kebolehan komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku kini semakin mampu berdikari.

Bapa kepada empat cahaya mata yang ditemui HibGlam ketika ‘balik kampung’ baru-baru ini mengakui buat pertama kali sejak berhijrah mereka meninggalkan Emery di bawah jagaan anak-anak lain.

“Kepulangan kali ini saya ditemani isteri kerana sebelum ini dengan keadaan Emery yang perlu diuruskan selain berdepan tantrum jika tidak kena cara memang perlu ada ibunya.

“Hasil didikan di sekolah semakin menampakkan kesan positif walaupun ambil masa lama untuk melihat peningkatan dari segi emosi dan perkembangan kognitif, semua itu sudah cukup menggembirakan kami.

“Jadi kali ini saya dan isteri bagi kepercayaan kepada adik-beradiknya untuk jaga Emery, malah setakat ini semuanya baik-baik sahaja,” ujarnya yang kembali ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis pengumuman konsert GenKRU The Finale: One More Time.

PENDIDIKAN khas bagi anak istimewa yang diikuti Emery di United Kingdom semakin meningkatkan keupayaan kognitifnya.

Emery ‘berkomunikasi’

Wajah teruja bercerita perihal anak istimewa mereka jelas ketara sepanjang perbualan, terutama tatkala menyentuh tentang Emery yang sudah boleh berkomunikasi menerusi mesej di skrin.

“Dia tidak mampu bercakap tetapi sekarang apa yang ingin disuarakan disampaikan menerusi perkataan yang ditaip sendiri.

“Alhamdulillah, memang kami hanya mampu bersyukur kepada Allah apabila dia sudah mampu ‘berbicara’. Biar tulisan pendek, itu cukup bermakna buat kami semua.

“Pendedahan di luar negara banyak membantunya, bahkan dari situ kami juga sedar itu semua bukan salah siapa-siapa. Bukan salah ibu bapa kalau anak dilahirkan istimewa,” ujarnya dengan mata yang berkaca.

Tatkala diminta mengimbas semula saat anak anak syurganya itu disahkan autisme, anggota kumpulan KRU itu terdiam sejenak.

Barangkali mahu mengumpul kata-kata atau sudah membuang jauh memori tersebut. Edry mengakui fikirannya ketika itu kosong seolah-olah berperang dengan perasaan sendiri.

Katanya, biar pada awal menyalahkan diri sendiri, demi Emery beliau bangkit mencari solusi agar permata hati dapat menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain.

“Kebanyakan ibu bapa yang menerima anak istimewa akan mencari salah kerana kita tidak tahu puncanya. Autisme bukan penyakit. Kalau seseorang dilahirkan kidal maka dia akan kidal, tidak akan ada perubahan.

“Kita cuma perlu cari solusi untuknya menjalani kehidupan sebaik mungkin dan paling penting jangan malu atau sisihkan mereka. Perkara ini juga yang membawa kami sekeluarga ke Manchester.

“Apa pun sebenarnya kami ambil tempoh lama untuk sedar bahawa tidak ada apa yang salah apabila dikurniakan cahaya mata dalam situasi begitu (autisme),” ujarnya.

SESEKALI Edry akan pulang ke tanah air bagi melampiaskan kecintaannya terhadap muzik bersama KRU.

Pasrah menerima kehadiran puteranya itu dengan berlapang dada, kelahiran Emery diibaratkan sebagai anugerah terindah yang mengeratkan lagi hubungan anak beranak.

Ajar jadi sabar

Selain mengajarnya dan isteri, Milia Mohamed menjadi insan lebih penyabar, tiga anak mereka yang lain iaitu Emil, 24, Edylia, 21, dan Elya, 14, sangat bertanggungjawab serta faham situasi mereka yang lebih kepada Emery.

“Ada masa kami serba salah dengan anak-anak yang lain kerana perhatian itu lebih kepada Emery. Mujur mereka faham,” kongsinya.

Begitupun, penghijrahan ke United Kingdom dirasakan merapatkan lagi sistem sokongan dalam usaha membolehkan Emery mendapat pendidikan khas terbaik.

“Apabila berhijrah ke luar negara, semestinya kita nak anak kembali normal. Bagi kita, normal itu adalah apabila dia bercakap seperti biasa.

“Saya mencari ‘sesuatu’ agar dia mampu hidup seperti kita, tapi apa pun saya sedar dan akur bahawa dia lahir berbeza daripada kita.

“Kita yang sepatutnya sesuaikan diri dengan dunianya, bukan ubah dia jadi kita. Kita kena hidup dalam dunia dia. Sampai sekarang pun Emery masih ‘nonverbal’, tidak boleh berbahasa.

“Komunikasinya kini dengan menaip dan mengeja merupakan kejayaan. Kita terus bagi sokongan, jangan biar anak istimewa begini terkapai-kapai sendirian,” tambah Edry.

Sedar laluan panjang menunggu mereka sekeluarga, Edry bersyukur isterinya merupakan wanita serta ibu berhati waja yang sanggup mengharungi segala dugaan demi insan kesayangan.

“Di luar negara sering berlaku perceraian apabila mak atau bapa yang mempunyai anak autisme tidak mampu berdepan cabaran.

“Apabila kami berhijrah ke sana, baru kami sedar bahawa ibu bapa kena faham ini (jaga anak autisme) adalah komitmen sepanjang hayat.

“Saya juga tahu dia tidak akan berkahwin dan mempunyai anak seperti orang lain. Emery akan menjadi tanggungan saya dan isteri. Alhamdulillah, Milia seorang isteri dan ibu yang kuat.

“Emery itu yang menjadi kekuatan dan mengajar kami untuk bertolak-ansur,” katanya menutup bicara. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok