‘Bukan muda lagi’ – Qi Razali sedia timang anak

MASIH menikmati fasa bulan madu, pelakon Qi Razali tidak menolak kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangganya dengan isteri, Wardah Hayati Mahbob.

Qi atau nama sebenar Qushairi Mohammed Razali, 48, berkata, dia sudah membayangkan momen bermakna membina keluarga sejak bergelar suami pada Mei lalu.

“Harapan memang ada ke arah itu, saya pun bukan makin muda. Sudah pun terbayang-bayang fasa tersebut iaitu membina keluarga.

“Banyak sebenarnya yang difikirkan. Saya selalu terbayang saat ada anak, menghantarnya ke kelas piano dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang.

“Apa pun, saya ambil langkah demi langkah, insya-Allah mudah-mudahan akan ada rezeki buat kami nanti,” ujarnya selepas majlis perasmian Festival Filem Malaysia Ke-34 (FFM34), baru-baru ini.

Berkongsi kehidupan selepas berkahwin, bekas pemain dram kumpulan OAG itu mengakui semakin matang serta lebih memahami erti tanggungjawab sebenar.

“Saya bahagia dengan perkahwinan ini. Tanggungjawab sebagai suami sangat berbeza. Saya percaya perjalanan hidup sebelum ini membawa saya ke titik sekarang.

“Sekarang saya lebih memahami situasi, malah isteri saya juga memahami diri saya. Paling penting, saya boleh jadi diri sendiri tanpa berpura-pura mengikut kehendak orang lain,” katanya.

Mengenai pencalonan di FFM34, Qi bersyukur apabila namanya layak berada dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Babah.

Calon lain dalam kategori sama ialah Beto Kusyairy (Reversi), Sharnaaz Ahmad (Brothers: Bara Naga), Aeril Zafrel (Laknat) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee).

“Apabila diumumkan mara sebagai calon akhir, saya hanya mampu menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada semua termasuk pelakon lain serta kru. Ini hasil kerja berkumpulan,” katanya.

Terdahulu, Qi dan Wardah, 30, juga juru solek mendirikan rumah tangga di Gopeng, Perak pada 25 Mei 2025. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok