PENYANYI dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi mencadangkan agar kisah perjuangan rakyat Palestin dijadikan sebahagian silibus pendidikan di sekolah sebagai usaha menanam kesedaran sejak usia muda.
Menurut Heliza atau nama penuhnya Nur Heliza Helmi, 39, langkah itu bukan sahaja memberi pendedahan awal tentang erti kemanusiaan, malah mendidik generasi muda menghargai keamanan dan memahami perjuangan rakyat tertindas.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Malaysia kerana terus konsisten mengangkat isu Palestin.
Saya berharap selepas ini kisah Palestin dapat dimasukkan dalam silibus pembelajaran anak-anak kita.
“Biar mereka faham sejak kecil apa makna perjuangan dan erti kemanusiaan sebenar,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Solidariti bersama Gaza, di sini, malam tadi.
Paling penting kata pelantun Jom Zikir itu, inisiatif sebegitu mampu membuka mata masyarakat seawal usia muda agar tidak leka dengan keselesaan sendiri.
Baginya, pendidikan ialah senjata paling kuat untuk menanam rasa empati terhadap penderitaan saudara seagama di Palestin.
Dalam ucapannya, Heliza turut berkongsi pengalaman menakutkan ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza bersama adiknya, Hazwani Helmi dan aktivis kemanusiaan, Farah Lee.
Ucapan penuh emosi itu disambut laungan lantang ribuan hadirin ‘Free, free Palestine!’ yang bergema dalam dewan sebagai saksi solidariti rakyat Malaysia terhadap penderitaan bumi Gaza.
Turut tampil berkongsi pentas, beberapa aktivis GSF Malaysia antaranya Zizi Kirana, Ardell Aryana, PU Rahmat, Ustaz Mad Kecik, dan Nadir Al-Nuri.
Acara penuh bersejarah itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar, serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby. – HIBGLAM