PUSINGAN separuh akhir All Star Championship 2025 yang berlangsung di Bunker Damansara, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu menyaksikan pertarungan sengit dan penuh kejutan apabila beberapa selebriti bertinju habis-habisan merebut tempat ke pentas akhir.
Antara aksi mencuri tumpuan ialah pelakon Fareez Fauzi yang mara ke perlawanan akhir selepas menumbangkan lawannya, Koroy, dalam pertarungan mendebarkan sejak pusingan pertama. Sorakan penonton bergema apabila Fareez menamatkan aksi dengan kemenangan bergaya.
Sementara itu, impian pempengaruh Imranul Effendy untuk bertemu adiknya, Izzlan, di pentas akhir tidak kesampaian apabila Izzlan tewas kepada Amir Harris, sekali gus menutup peluang pertembungan adik-beradik yang dinanti ramai.
Turut mencuri perhatian, pelakon Shahidan Izwan tersingkir selepas tunduk kepada Sonic, manakala penyanyi Fariq McFly pula tewas kepada atlet silat, Oyot, yang mempamerkan kawalan gelanggang luar biasa seperti jaguh profesional.
Penganjur kejohanan, Datuk Abdul Rahman Soltan berkata, edisi kali ini membuktikan semangat luar biasa para peserta yang bukan sahaja berani mencabar diri tetapi turut berlatih intensif demi menampilkan aksi bertaraf profesional.
“Walaupun ada yang menganggap mereka bertinju suka-suka, hakikatnya latihan yang dijalankan amat serius. Sambutan penonton juga luar biasa, menunjukkan All Star Championship kini menjadi fenomena baharu dalam sukan tempur moden,” katanya.
Pusingan akhir All Star Championship 2025 bakal berlangsung pada 18 Oktober ini di Arena Sukan Kuala Lumpur, menawarkan jumlah hadiah terkumpul RM270,000.
Tiket akan mula dijual tidak lama lagi dan dijangka mendapat sambutan hangat daripada peminat sukan dan hiburan tempatan.