PELAKON Eman Manan mengakui bahawa membesar dalam sebuah keluarga yang susah menjadikannya individu yang tidak cerewet dalam hal berkaitan pemakanan.
Eman atau Abdul Manan Embong, 66, berkata, kehidupan di kampung mendidiknya untuk lebih menghargai rezeki dan menikmati makanan yang diperoleh terus dari sumber alam.
“Saya orang kampung dan bukan berasal dari keluarga yang kaya. Sampai sekarang saya makan yang murah-murah, bukan yang mahal.
“Makanan kampung segar, petik saja. Sejak dulu makan sehari dua kali.
“Pernah juga ikat perut tapi kami puas dengan apa yang ada. Contohnya kalau tiada juadah untuk minum petang, tak mengapa dan tidak mendesak keluarga,” katanya yang juga kurang ambil makanan segera.
Ditanya tentang dirinya masih bertenaga pada usia yang sudah mencecah lebih enam dekad, Eman berkata perkara tersebut bukan sahaja disebabkan faktor pemakanan tetapi juga takdir Allah SWT.
“Bila bercakap tentang sihat, orang selalu cakap soal pemakanan, tetapi satu perkara asas yang tak boleh dilupa ialah takdir.
“Sebenarnya makan perlu ikut keperluan badan. Ada masa makan banyak dan sebaliknya tetapi kalau nak cadangkan untuk orang, saya tak pandai.
“Kita juga kena ingat, nak sihat jangan cakap mengenai makanan sahaja tetapi tentang ‘membuang’. Ada orang makan dua tiga hari tapi tak ‘buang’” jelasnya. – HIBGLAM
