‘Kita akan berjuang lagi nanti, gelombang yang lebih besar’

PENYANYI dan aktivis Hazwani Helmi berkongsi kiriman penuh rasa sayang daripada rakan seperjuangan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang sama-sama ditahan dalam penjara Israel kepada rakyat Malaysia.

Malah, Hazwani atau nama lengkap Nur Hazwani Afiqah Helmi, 28, turut memaklumkan rakan aktivis dari pelbagai negara berjanji akan terus berjuang demi membantu rakyat Gaza yang menderita akibat kekejaman rejim Zionis.

“Sebelum saya terlupa, saya nak sampaikan pesanan dari rakan seperjuangan GSF membabitkan pelbagai negara semasa kami di penjara Israel.

“Mereka berpesan ‘Sampaikan rasa cinta aku pada orang Malaysia. Ini hanyalah permulaan.’

“‘Selepas ini, kita akan berjuang lagi bersama-sama dengan gelombang yang lebih besar’,” katanya dalam Threads.

Semalam, Hazwani bersama 22 lagi sukarelawan Malaysia yang menyertai konvoi bantuan ke Gaza itu tiba di Malaysia pada pukul 10 malam dan disambut meriah ribuan orang awam.

Selain Hazwani, selebriti wanita lain yang turut menyertai misi tersebut ialah Datin Seri Heliza Helmi, Ardell Aryana dan Zizi Kirana.

Kesemua peserta dari Malaysia dibebaskan pada Sabtu lalu selepas ditahan rejim Zionis di perairan antarabangsa.

Mereka kemudian diterbangkan dari Lapangan Terbang Ramon di Israel ke Istanbul, Turkiye, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok