‘Iman mereka kuat’ – Zain Saidin kongsi pengalaman ke Gaza

PELAKON Zain Saidin masih menyimpan kenangan paling bermakna dalam hidupnya saat menjejakkan kaki ke bumi Palestin pada tahun 2012 yang disifatkan sebuah pengalaman indah dan menyentuh jiwa.

Ujar Zain atau nama sebenarnya Mohammad Zain Mohd Saidin, 41, misi kemanusiaan yang disertai bersama rakan artis, Bront Palarae serta Afdlin Shauki itu bukan hanya perjalanan fizikal, tetapi kembara rohani yang mengubah pandangan hidupnya tentang erti perjuangan dan keimanan.

“Mungkin ramai tidak tahu, saya pernah ke Gaza pada 2012, waktu itu saya belum berkahwin. Saya pergi bersama Bront dan Afdlin dalam satu misi kemanusiaan.

“Dapat jejak kaki di Palestin adalah pengalaman paling indah. Waktu itu kami masuk menggunakan jalan darat, tapi sekarang jalan itu sudah ditutup, sebab itu misi Global Sumud Flotilla terpaksa ikut laluan laut.

“Pergi ke sana rasa seperti pergi ke Mekah, penuh getar dan keinsafan. Seronok sebab dapat buat sesuatu untuk agama. Rakyat Palestin pula menyambut kami dengan begitu baik dan mesra,” katanya dalam TikTok.

Tambah pelakon Kiah Pekasam itu, pengalaman tersebut memberi kesan mendalam apabila melihat sendiri penderitaan rakyat Gaza yang hidup dalam ketakutan tetapi masih mampu tersenyum dengan keimanan yang luar biasa.

Beberapa hari sebelum kami sampai, Palestin baru sahaja dibom. Ada kawasan yang hancur, rumah musnah. Saya dibawa ke perairan laut dikawal kapal tentera Israel, dan dapat lihat sendiri betapa tegangnya suasana.

“Saya juga melawat rumah ibu-ibu yang kehilangan anak dan suami. Mereka cerita dengan tenang bagaimana keluarga mereka dibunuh. Saya menangis waktu itu, tapi mereka kata ‘jangan menangis, kenapa kamu menangis?’

“Ketika di sana, siapa yang tak takut mati? Tapi saya reda. Saya serahkan segalanya kepada Allah,” ujarnya.

Paling penting kata suami kepada Rozita Che Wan itu, perjalanan tersebut mengajarnya tentang makna sebenar ketabahan dan iman rakyat Palestin yang membuat dirinya terasa kerdil.

“Ada satu malam, saya, Bront dan Afdlin dengar bunyi dron. Orang tempatan kata mungkin dron itu bawa bom. Saya terkejut, tapi mereka selamba kata, ‘jangan takut, kalau ada bom, kami akan tangkap’.

“Melihat semangat mereka, saya rasa begitu malu dengan diri sendiri. Betapa kuatnya iman orang Palestin, mereka berani, sabar dan sangat percaya dengan ketentuan Allah,” kongsinya.

Pada Sabtu lalu, seramai 23 sukarelawan Malaysia di bawah misi Global Sumud Flotilla (GSF) selamat dibebaskan selepas ditahan rejim Zionis sejak 2 Oktober lalu.

Semalam, kesemua delegasi termasuk selebriti Zizi Kirana, Ardell Aryana, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pukul 10.13 malam selepas transit di Istanbul, Turkiye.

Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 500 sukarelawan antarabangsa yang berlayar sejak September lalu bagi menghantar bantuan makanan dan perubatan ke Gaza sebelum kapal mereka dipintas serta dilayan kejam oleh tentera Israel. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok