PELAKON Anzalna Nasir menegur segelintir pihak yang hanya menggunakan populariti untuk kepentingan sendiri tanpa memanfaatkan pengaruh terhadap isu sejagat.
Anzalna atau nama lengkapnya Nur Anzalna Md. Nasir, 37, berkata, mempunyai berjuta-juta pengikut di laman sosial lebih bermakna jika turut digunakan bagi menyuarakan rasa peduli mengenai situasi semasa.
“Apa gunanya mempunyai berjuta pengikut jika hanya digunakan untuk kepentingan peribadi atau perniagaan semata-mata.
“Gunakan pengaruh anda sebaik mungkin bukan hanya untuk perniagaan, tetapi juga bagi memberi suara kepada perkara yang benar-benar memerlukan perhatian,” katanya menerusi Threads.
Pada masa sama, ibu kepada dua anak itu turut berharap rakan selebriti serta pempengaruh usah takut dengan momokan akan hilang punca pendapatan andai lantang bersuara.
“Jangan takut rezeki akan terjejas, percayalah, rezeki semuanya datang dari Allah,” ujarnya.
Biarpun tidak memperincikan teguran tersebut dengan mana-mana isu, perkongsian Anzalna meraih banyak komen positif netizen.
Rata-rata pengguna laman terbabit sependapat dengannya apabila berharap lebih ramai selebriti dan individu popular memanfaatkan pengaruh mereka sebaik mungkin.
Tidak kurang juga memuji kelantangan pelakon drama Cinta Dari Syurga itu yang berani memberikan teguran, sekali gus mewakili suara ramai.
“Anda seorang wanita yang berani. Cantik dan bijak. Tak ramai selebriti tempatan seperti anda,” tulis pengikutnya.
“Sokong kenyataan ini. Di akhirat nanti akan dihisab. ‘Jumlah ‘followers’ berjuta-juta apa kau buat?’,” kata pengguna lain.
Anzalna merupakan antara artis yang aktif berkongsi pandangan mahupun menyuarakan isu global terutama berkaitan situasi runcing dihadapi rakyat Palestin. – HIBGLAM