PENGARAH Kanan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng menafikan dakwaan kononnya setiap anggota Dolla yang berkahwin perlu membayar denda kerana melanggar kontrak.
Menurutnya, tiada terma tidak boleh berkahwin dalam kontrak anggota Dolla bersama Universal Music Malaysia.
Tak ada sebarang denda sebab dalam kontrak tak pernah ada syarat tak boleh kahwin. Mana-mana anggota Dolla nak kahwin lepas ni pun boleh,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu terbaru Bella Astillah dan Daniesh Suffian berjudul Akhirnya Kamu, di sini, semalam.
Menjelaskan khabar angin yang mengatakan bekas anggota Dolla iaitu Syasya Ryzal terpaksa membayar denda kerana berkahwin, kata Hermond dakwaan itu tidak benar sama sekali.
Kami tidak pernah mendenda Syasya dengan memintanya membayar wang pampasan disebabkan berkahwin. Malah dia masih lagi bernaung sebagai artis Universal Music Malaysia. Cuma haluannya kini berbeza,” jelasnya.
Mengulas tentang perkahwinan Sabronzo bersama DJ Ryan Fieret, kata Hermond pihak label pada mulanya terkejut, tetapi gembira kerana akhirnya penyanyi itu menamatkan zaman bujang.
Memang terperanjat bila dia beritahu nak kahwin. Tetapi sudah tiba masanya untuk dia berkahwin, usianya pun sudah mencecah 30-an. Kami sangat gembira untuknya,” jelasnya.
Ditanya adakah perancangan untuk menambah ahli baharu seandainya Sabronzo hamil kelak, kata Hermond, perkara itu belum diputuskan lagi.
Sabronzo takkan keluar Dolla, dia akan bersama Dolla selama-lamanya. Buat masa ini kami masih belum ada perancangan untuk menambah ahli baru. Tetapi seandainya Sabronzo hamil nanti, kami mungkin akan keluar dengan Plan B,” kongsinya.
Terdahulu Sabronzo atau nama sebenarnya Wan Sabrina Wan Rosli, 30, mengejutkan ramai apabila menamatkan zaman bujangnya bersama DJ Ryan Fieret beberapa minggu lalu.
Disebabkan itu ada pihak mempersoalkan adakah dia terpaksa membayar denda kerana melanggar kontrak tidak boleh berkahwin. – HIBGLAM