KALI terakhir diberi makan dan minum pada 1 Oktober, penyanyi Heliza Helmi terpaksa meneguk air paip di tandas selepas permintaan mendapatkan minuman tidak dipedulikan tentera Israel.
Heliza atau Nur Heliza Helmi, 39, berkata, tanpa sumber air mengakibatkannya terfikir bakal menemui ajal akibat dehidrasi ketika berada dalam Penjara Ktzi’ot di Israel.
“Keadaan di laut dan darat sangat berbeza. Tentera mereka memang sangat jahat. Kami diikat tangan bukan di depan, tapi di belakang entah berapa jam.
Kali terakhir kami diberi makan dan minum ialah pada 1 Oktober. Dalam penjara ada terfikir mungkin kami ini akan mati disebabkan tiada air.
“Bila kami minta (dan), cakap kami semua dehidrasi, mereka buat tak tahu saja. Akhirnya kami terpaksa minum air dari paip tandas,” katanya dalam satu wawancara media.
Pada masa sama, Heliza mendedahkan tentera zionis yang mengawal sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) turut memperlekehkan misi mereka menghantar bekalan makanan dan perubatan kepada rakyat Palestin.
“Sebelum dimasukkan ke penjara ada beberapa fasa, ada satu ketika dia (tentera) tanya saya, ‘Kenapa kamu nak pergi Gaza?’
Saya jawab sebab nak beri bantuan makanan dan membuka mata dunia. Bila dengar perkataan itu dia pandang saya dengan sinis dan cakap ‘selamat datang ke penjara’
“Waktu itu saya sedar, hanya kerana kami mahu membantu orang yang lapar dan tidak berdosa, kami diperlakukan sebegini. Dunia perlu tahu hakikat ini,” ujarnya.
Terdahulu, 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla ditahan tentera Zionis ketika dalam perjalanan menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan.
Namin, mereka kini sudah dibebaskan dan diterbangkan ke Istanbul, Turkiye menggunakan pesawat khas.
Kesemua aktivis kemanusiaan itu sudah menjalani pemeriksaan kesihatan di Istanbul termasuk penyanyi Ardell Aryana yang dilaporkan mengalami kecederaan pada tisu bahu.
Heliza dan adiknya, Hazwani yang mengikuti misi terbabit bersama 21 sukarelawan dari Malaysia dijadualkan tiba di tanah air malam ini. – HIBGLAM