TOLAK tepi soal kontroversi yang melanda pelakon Sophia Albarakbah tidak kira isu percintaan mahupun menjadi mangsa buli siber.
Apa yang patut diberikan tumpuan adalah lakonan Sophia yang banyak penambahbaikan dari segi pergerakan dan juga emosi yang harus dicurahkan dalam sesebuah karakter.
Terbaharu, wanita berusia 32 tahun itu beraksi dalam filem seram Tembuni Berdarah arahan Dr. Ahmad Idham.
Sophia mengakui pengalaman bekerjasama dengan pengarah prolifik serta pelakon senior seperti Khatijah Tan banyak mengajarnya menjiwai karakter.
“Saya dapat skrip pada saat akhir. Memang agak terburu-buru dan sangat besar bagi saya sebab dalam cerita ini saya watak utama.
Bila dapat skrip dan terus masuk set penggambaran, saya sangat takut. Saya jumpa dengan pengarah dan berbincang apa yang dia nak.
“Saya sendiri buat penyelidikan, di set penggambaran pun kita ada Khatijah Tan yang memang ratu naskhah seram, jadi saya banyak bertanya soalan dan pandangan,” katanya kepada HibGlam.

KECINTAAN Sophia terhadap dunia lakonan saban hari makin mendalam.
Tembuni Berdarah mengisahkan sisi gelap dunia estetika kecantikan di mana amalan syirik dan susuk menjadi jalan pintas untuk mendapatkan kesempurnaan.
Ditanya pandangannya mengenai isu susuk, aktres yang mesra disapa Sophie sedia maklum amalan tersebut jauh menyimpang dari landasan agama dan tidak seharusnya diamalkan.
“Kita tahu benda itu (susuk) tak betul, jadi sebagai umat Islam sudah semestinya kita kena elak.
Kita juga tidak boleh menghakimi seseorang berdasarkan dosa mereka sebab kita semua pendosa, jadi apa kita perlu buat hanyalah sekadar beri nasihat.
“Mungkin bagi mereka buat sekarang akan jadi cantik tapi pada akhirnya makan diri sehingga boleh menyebabkan kematian.
Suka genre seram
Enggan dilihat selesa dalam satu genre sahaja, wanita berdarah kacukan Melayu, Arab dan Cina itu tekad menjadikan genre seram sebagai ruang membuktikan kelainan dalam lakonan.
Jelasnya, watak seram membuka ruang emosi baharu yang tidak diperolehi dalam karya lain.

SOPHIA puas dapat tampil berbeza dalam Tembuni Berdarah.
Dia menyifatkan keindahan seni lakonan adalah apabila pelakon berani menjejak sisi menakutkan tanpa pedulikan rupa di layar.
“Saya memang suka berlakon genre seram, macam buka sisi emosi lain saya sebagai pelakon.
“Kalau soal takut nampak buruk atau tidak, sudah memang jadi hantu kenalah nampak buruk.
Orang nampak senang jadi hantu tapi tidak ya. Kita sebagai pelakon kena bawa watak itu supaya benar-benar menyeramkan dan memberikan impak sampai orang tak tidur malam,” ujarnya bersungguh.
Ditanya, sama ada pernah diganggu sepanjang menjalani penggambaran, Sophia menghela nafas lega. Baginya, perlindungan Tuhan sentiasa menjadi benteng utama.
“Alhamdulillah, saya tidak alami sebarang gangguan. Saya selalu dengar kalau berlakon filem seram akan berdepan perkara mistik, syukur tidak berlaku kepada saya.
Baguslah sebab saya memang tak mahu alami semua itu. Bukan kerana penakut, cuma kalau boleh elak, lebih baik elak. Yang pasti, niat kena betul. Kita berlakon untuk beri pengajaran kepada orang, bukan sekadar suka-suka,” katanya.
Tambahnya lagi, dia tidak pernah alpa mengamalkan doa dan bacaan ayat suci sebagai pelindung diri ketika pulang dari set, malah keberadaan ustaz di lokasi turut memberi rasa tenteram.
“Saya akan baca Ayatul Kursi ketika perjalanan pulang daripada set penggambaran dan pasang bacaan al-Quran.
Selain itu saya ambil wuduk juga dan berhenti sekejap dekat mana-mana sebelum balik rumah, orang kata elok buat begitu.
“Di set penggambaran pun ada ustaz, jadi okeylah sikit suasananya, tidaklah terlalu seram,” tuturnya.

ANTARA impian terbesar Sophia adalah menggenggam trofi pelakon terbaik.
Mahu anugerah ‘Terbaik’
Bagaikan tidak henti bernafas, tahun ini sahaja pemenang Anugerah Selebriti Feminin Terhangat Anugerah Melodi Terhangat 2025 itu sudah membintangi dua buah filem.
Jadual kerja padat membuatkan khalayak beranggapan dia seakan-akan mengejar sesuatu dan seolah-olah ada benda yang ingin dibuktikan.
Tidak menafikan, Sophia mengakui tersimpan impian besar dalam hatinya.
“Bukan sekarang tapi pada masa depan. Satu hari nanti saya mahu dinobatkan sebagai pelakon terbaik.
Buat masa ini anugerah yang saya menangi lebih kepada kategori popular, berdasarkan undian peminat. Itu bagus sebab kita tahu peminat sayang kita tetapi bukan ukuran sejauh mana bagusnya lakonan kita.
“Saya mahu menang anugerah yang benar-benar membuktikan hasil kerja dan mutu lakonan saya. Tapi bukan sekarang, saya rasa belum bersedia lagi. Macam saya cakap tadi, insya-Allah satu hari nanti,” jelasnya.
Ditanya, tidakkah penat jadual kerja sentiasa padat, si putih gebu itu hanya tertawa kecil.
Jauh di lubuk hati, Sophia memang penat tetapi rasa itu menyalakan lagi api cintanya terhadap dunia seni.
“Pernah terlampau penat, rasa macam nak mengalah tapi bukan nak berhenti. Cuma bila fikir balik, kerjaya ini yang saya suka dan kena dengan jiwa.
Kalau dibandingkan dengan kerja pejabat dari pukul pagi sampai petang, saya rasa takkan ‘enjoy’. Kadang-kadang di set sampai 18 jam, pernah juga 21 jam. Subuh baru habis penggambaran.
“Walaupun penat, inilah minat saya. Penat itu berbaloi. Daripada kita buat benda yang kita tak suka, lama-lama boleh rosak emosi.
“Jadi selagi mampu saya akan teruskan, inilah jiwa saya,” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM