‘Ramai wanita takut botak, risau ditinggal suami’

BUKAN menagih simpati, penyanyi Elyana berkongsi foto berkepala botak kerana mahu menyuntik semangat kepada pejuang kanser lain.

Menurut pemilik nama penuh Erneelya Elyana Emrizal, 38, itu, dia memuat naik perkongsian itu kerana sering menerima luahan pesakit kanser terutama wanita yang tidak bersedia dan takut untuk berimej botak.

“Itu foto sembilan bulan lalu yang memang saya sendiri botak buat kali entah ke berapa cuma baru dikongsi baru-baru ini dan selepas rasa mental sudah kuat.

Ramai wanita di luar sana yang takut untuk botak terutama selepas dapat tahu menghidap kanser dan perlu menjalani rawatan kemoterapi.

“Bagi mereka, bila sudah botak, hidup pun berakhir termasuk ditinggalkan suami terutama yang baru bergelar isteri dan ibu,” katanya kepada HibGlam aru-baru ini.

Tambahnya, dia mahu menyebarkan kesedaran bahawa berjuang melawan kanser adalah lebih utama berbanding risau berkepala botak.

“Mereka risau dan saya juga pernah merasai hal sama tetapi saya mahu mereka sedar bahawa botak itu okey dan cantik sahaja. Kalau saya boleh, kenapa orang lain tak boleh?

Bukan sahaja wanita, lelaki pun meluahkan kerisauan tersebut, sedangkan saya juga bergelut dengan penyakit sama.

“Jadi, mungkin ini sahaja cara yang saya mampu bantu menaikkan semangat dan menjadi inspirasi dari jauh,” ujarnya. ‘

Berkongsi pengalaman, rambutnya mula gugur selepas menjalani rawatan kemoterapi pertama sekitar 14 tahun lalu.

“Dulu saya seperti mereka juga, tak boleh terima kenyataan, rasa mahkota itu sudah hilang namun saya tak cukur dan hanya biar rambut gugur sehingga tinggal beberapa helai.

“Saya sendiri tak mampu nak tengok rambut sendiri, sebab itu selalu ‘cover’ dengan topi.

“Sebagai manusia, perkara itu sangat sedih. Kita dilahirkan sihat tetapi selepas beberapa ketika, disahkan sakit, memang ‘down’,” katanya lagi.

Terdahulu, Elyana pada Julai lalu mengejutkan ramai apabila berkongsi foto dalam keadaan botak sekali gus membuatkan ramai tertanya-tanya sama ada kanser yang dihidapinya menyerang kembali.

Dalam satu temu bual bersama Elyana baru-baru ini, dia menegaskan untuk tidak lagi berkongsi mengenai penyakitnya dalam media sosial selepas kerap dihujani komen negatif netizen sehingga membuatkannya hilang semangat meneruskan hidup. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok