Perjuangan GSF jentik hati Elly Mazlein berhijab

TERSENTUH hati dengan perjuangan aktivis dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), pengacara Elly Mazlein memutuskan untuk berhijab.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, turut memohon orang ramai mendoakan perjalanan baharunya sentiasa diberkati.

“Pertama sekali, saya mohon semua orang doakan yang terbaik untuk saya. Sudah semestinya saya mahukan yang terbaik buat saya.

Tiada istilah mencuba (pakai hijab). Saya perlukan doa yang baik-baik daripada orang ramai.

“Kadang-kadang jihad seseorang buat kita insaf. Kita rasa macam sangat hebat terutama sekali rakan-rakan yang menyertai GSF, ” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada sidang media pentas akhir Kilauan Emas 2025, semalam.

Menurut Elly, keputusan untuk berhijab mendapat sokongan penuh daripada suaminya, Mohamad Azlan Che Nuh.

Sudah tentu suami seronok, dia cium dahi saya dan sangat bahagia. Terima kasih sayang,” katanya lagi.

Berkongsi lanjut, pengacara dan penyanyi itu memuji perjuangan rakan-rakan industri yang menyertai misi GSF serta berharap mereka pulang dengan selamat.

“Perjuangan mereka sangat hebat dan harus jadi ikutan kita.

Terima kasih rakyat Malaysia dan satu dunia yang bersama mereka. Saya harap kita sama-sama kuat dan sabar menanti apa yang seterusnya tentang perjuangan GSF.

“Doakan yang baik supaya mereka selamat sampai ke tanah air. Kita sekarang tengah tunggu mereka.,” ujarnya.

Selain itu, Elly turut menegur segelintir pihak yang sering melontarkan kata-kata negatif terhadap usaha membantu rakyat Gaza, Palestin.

“Saya di sini juga mohon hentikan kata yang bukan-bukan. Usaha mereka cukup baik.

Kenapa mesti kita mematahkan semangat atau keluarkan kata-kata tak cerdik. Tidak perlu mempersoalkan itu ini.

“Daripada sibuk mempersoalkan itu ini, lebih baik mendoakan mereka yang berjuang,” jelasnya.

Semalam, Elly mencuri tumpuan ramai apabila tampil berhijab semasa mengacarakan konsert akhir Kilauan Emas 2025. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok