LAPAN tahun bukan masa singkat, tetapi selama itulah pelakon Matthew McConaughey menjauhi ibunya sendiri, Kay yang disifatkan gemar membongkar kisah peribadinya kepada umum.
Penerima trofi Oscar itu berkata, ibunya gemar berkongsi hal sulit kepada media termasuk isu yang sangat peribadi. Dahulu dia kerap menghubungi ibunya untuk bertanya khabar dan memaklumkan perkembangan, namun tidak menyangka wanita itu akan berkongsi perbualan mereka kepada pihak luar.
Kemuncaknya, Kay membenarkan kru program televisyen masuk ke ke rumah mereka untuk merakamkan wawancara selain melihat keadaan bilik aktor terbabit ketika kecil.
“Kalau Isnin saya telefon, esoknya perbualan kami tersiar dalam akhbar. Paling saya kecewa selepas bilik saya dimasuki kru televisyen,” katanya.
Kini, kemarahan pelakon The Gentleman itu reda apatah lagi wanita kesayangannya itu sudah berusia 93 tahun.