Video disunting, Aaron Aziz nafi ‘sentuh’ misi GSF

Video wawancara disunting sehingga mencetuskan salah faham, pelakon Datuk Aaron Aziz berang dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang mencetuskan fitnah kepada dirinya.
Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 49, berkata, tidak pernah menyebut mengenai misi bantuan kemanusiaan, Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza seperti didakwa seorang pempengaruh, baru-baru ini.
“Di sini saya minta anda untuk tengok dan dengar video temu bual yang penuh Saya tak sebut pun pasal Sumud Flotilla.
“Soalan yang diberi kepada saya adalah ‘Apa pendapat Datuk tentang artis yang tak post (muat naik) atau tak bersuara tentang genosid di Gaza?,” katanya menerusi video di Instagram.
Menurutnya, dia juga terkilan dengan tindakan pihak tertentu yang memutar belit kenyataan dibuat seolah-olah dia enggan membela nasib saudara seagama di Palestin yang dizalimi Israel.
Saya orang Islam. Takkanlah saya tak sokong Gaza? Ini soal kemanusiaan. Ya, saya sentiasa bersuara untuk Gaza dan semua isu kemanusiaan,” ujarnya lagi.
Pelakon filem Sheriff Narko Integriti itu tidak ketinggalan mengingatkan penyebar fitnah terhadap pembalasan di akhirat nanti.
“Jadi, yang fitnah saya, anda jawablah di akhirat nanti,” katanya.
Mengelakkan lebih ramai ‘termakan’ fitnah tersebut, Aaron meminta netizen  menonton rakaman penuh temu bual berkenaan berbanding mempercayai rakaman yang dimanipulasi.
Terdahulu, tular satu video suntingan yang menunjukkan seolah-olah aktor asal Singapura itu mempertikaikan tindakan aktivis kemanusiaan GSF,  sekali gus membuatkan netizen mengecamnya – KOSMO! ONLINE
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok