‘Contoh pempengaruh pentingkan wang, kekayaan’ – Ameera Khan diboikot?

Dianggap tidak sensitif berikutan isu Palestin yang ini menjadi perhatian ramai, pempengaruh Ameera Khan dikecam kerana masih mempromosikan barangan yang dikaitkan dengan Israel.

Tindakan tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai hingga mendorong sebahagian besar netizen melancarkan gerakan boikot dan menyahikut media sosial Ameera atau nama sebenarnya, Nur Ameera Abdul Halim Khan, 25.

“Dah nyah ikut jenis manusia tiada hati perut ini. Orang tengah panas isu Global Sumud Flotilla (GSF), dia seronok promosikan barang ‘Israhell’,” kata netizen.

Ini contoh seorang pempengaruh yang mementingkan wang dan kekayangaan. Saya tahu itu pekerjaan anda tetapi anda gagal menjadi pempengaruh terbaik.,” ujar netizen lain.

“Sejujurnya, ramai orang sedang berjuang memboikot jenama yang ada kaitan dengan Israel sekarang. Sebagai seorang pempengaruh dengan jumlah pengikut yang besar, orang ramai mengharapkan anda lebih peka dan menunjukkan empati, “tutur netizen lagi.

Adik kepada selebriti Neelofa itu juga kurang berkongsi isu yang berlaku mengenai misi kemanusiaan GSF danlebih kerap memuat naik hantaran mempromosi sebuah jenama pro-Israel.

Terdahulu, misi GSF yang disertai hampir 500 aktivis dari 45 negara itu berlayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.

Begitupun, situasi menjadi gawat apabila tentera Israel memintas konvoi terbabit sekali gus menahan sukarelawan termasuk semua rakyat Malaysia yang menyertai flotilla termasuk penyanyi, Zizi Kirana, Ardell Aryana, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.

Sebelum ini misi terbabit mendapat perhatian dunia apabila turut disertai tokoh antarabangsa termasuk aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood, Susan Sarandon serta cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela.

Menurut laporan media antarabangsa, semua aktivis sudah dipindahkan Pelabuhan Ashdod ke pusat tahanan paling besar dan ketat, Penjara Ktzi’ot di Gurun Negev.

Hari ini, Kosmo! Online melaporkan Turkiye merancang menghantar pesawat khas ke Israel untuk membawa pulang 140 rakyatnya bersama aktivis-aktivis flotila dari Malaysia dan Indonesia yang ditahan Tentera Laut Tel Aviv.

Pada masa sama, GSF melancarkan satu lagi misi dengan membawa doktor serta wartawan dan membawa beberapa tan bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan ubat-ubatan untuk penduduk Palestin di Gaza. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok