‘Banyak babak Naura kena marah, saya tak sampai hati’

MESKI masih hijau, tuah kian menyebelahi pelakon cantik Erysha Emyra apabila namanya meniti di bibir peminat impak fenomena deretan drama lakonan yang menghiasi slot perdana.

Hadir dengan pakej jelita dan lakonan yang ‘hidup’ tentu mudah sahaja bagi pemilik nama lengkap Nur Erysha Emyra Zakaria itu mengumpul pengaruh dalam tempoh singkat. 

Satu demi satu drama lakonannya meraih pujian, si cantik itu enggan berpeluk tubuh malah berusaha keras membina jenama seni agar kariernya tidak sirna daripada radar industri seni tanah air.

Usaha berbaloi, namanya kembali melonjak menerusi drama sarat emosi Rumah Tanpa Luka. 

Paling mencuri perhatian, keserasian gadis berusia 25 tahun itu bersama pelakon cilik sindrom Down, Naura Arissa, yang berjaya meruntun hati jutaan penonton.

Keakraban mereka mula terserlah sejak peringkat bacaan skrip, hingga terbawa-bawa ke lokasi penggambaran. 

Tidak canggung mahupun kelihatan dibuat-buat, kasih sayang yang mengalir menjadikan lakonan mereka seakan-akan realiti, malah ramai menganggap hubungan itu seperti sudah terjalin sejak lama.

“Naura ini sebenarnya seorang yang ceria dan mudah mesra. Pertemuan pertama kami ketika sesi bacaan skrip sudah cukup untuk rapatkan hubungan. 

Saya memang jadi ‘attach’ dengan dia. Bila penggambaran berjalan lebih dua bulan, kami jadi semakin erat. Hampir setiap hari kami berhubung, ada sahaja video call atau mesej. Terlalu sayang saya pada dia,” katanya kepada HibGlam.

Pun begitu, anak kepada aktres Noniswara itu tidak menafikan bekerja bersama anak istimewa tidak pernah mudah malah kesabaran dan empati sentiasa menjadi benteng utama.

“Bila di set, banyak cabaran perlu dilalui. Saya ibarat kakak dia, saya jugalah ibu dia. Naura ada ragamnya sendiri. Itu biasalah. Kadang-kadang bila dia tidak mahu buat sesuatu babak, saya perlu bantu tenangkan suasana. 

“Saya cuba fahami kehendaknya, bukan paksa dia faham kita. Saya tanya dia, okey ke tidak, mahu makan atau rehat. 

“Semua itu penting supaya dia rasa selesa. Sebab dalam naskhah ini, kami amat memerlukannya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, antara pengalaman yang paling meninggalkan kesan mendalam apabila dia perlu melakonkan adegan marah terhadap Naura yang memegang watak sebagai Rose Ameena.

Meskipun berat, kata Artis Baharu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) itu, pengalaman tersebut meninggalkan kesan mendalam buat dirinya malah percaya semua itu akan kekal menjadi salah satu momen terindah sepanjang perjalanan seninya.

“Memang banyak babak Naura kena marah, saya betul-betul tak sampai hati. Dalam hati saya paling akut kalau dia terasa hati. Saya siap berbincang dengan keluarganya sebab risau. Bila tiba babak itu, jujur saya menggigil. 

Habis sahaja penggambaran, saya terus memeluk dia. Dia menangis, saya pun turut sebak. Malah kami duduk berdua dalam bilik hampir dua jam, hanya menangis bersama. 

“Selepas itu, dia minta maaf, saya juga minta maaf. Memang pengalaman yang meremangkan bulu roma, sukar dilupakan,” tutupnya.

Ironinya, naskhah Rumah Tanpa Luka garapan Nur Ain Sharif membawa mesej kemanusiaan yang mendalam. 

Selain Erysha, naskhah terbabit turut menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Shukri Yahaya, Nadhir Nasar, Ziela Jalil, Raja Azmi dan Hafreez Adam.

Alur cerita garapan Nur Ain Sharif tersebut mengangkat pengorbanan seorang kakak, Nik Kalsom (Erysha) yang sanggup bergadai nyawa mempertahankan adiknya Rose Ameena (Naura), penghidap sindrom Down. 

Mereka dihalau, dihina malah dianggap pembawa malang, sebelum hadir watak Qiuzi (Shukri Yahaya) yang memberi sinar baharu dalam kehidupan.

 

 



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok