Allah ‘tegur’, masuk lokap, barulah saya sedar – Niezam Zaidi

PERNAH berada di titik paling rendah kehidupan dan berasakan kehancuran kerjaya akibat kes penyalahgunaan dadah tiga tahun lalu, pelakon Niezam Zaidi kini kembali dengan azam yang baharu.

Niezam atau nama sebenarnya, Muhamad Niezam Mohd. Zaidi, 33, sama sekali tidak menyangka gara-gara watak Tajul dalam drama Dia Bukan Syurga, namanya kembali menyerlah, percikan noda hitam kian padam.

Enggan mensia-siakan peluang kedua dan kepercayaan diberi peminat dan warga industri, Niezam menyifatkan episod gelap kehidupannya sebagai satu teguran menjadi manusia yang lebih baik.

“Jujur, dahulu tiada siapa boleh tegur saya. Saya sangat degil dan tidak berdisiplin. Semua perkara saya ambil mudah. Namun, apabila Allah ‘tegur’ dan sempatlah merasa tidur lokap, barulah saya sedar.

Kata Niezam, dia kini lebih bersikap selektif dalam memilih kawan agar sejarah hitam lama tidak berulang.

“Sekarang walaupun tidak sihat, selagi tidak terlantar saya akan usahakan hadir untuk kerja. 

“Ini kerana pekerjaan saya melibatkan ramai orang, jika saya buat perangai lama memang akan menyusahkan ramai orang,” katanya ketika ditemu bual HibGlam baru-baru ini.

Selain itu, antara perubahan paling ketara dirasainya kini adalah dia semakin berhati-hati dalam memilih kawan supaya perkara yang sama tidak berulang kembali.

Bukan itu sahaja, karakternya juga berubah daripada seorang peramah kini menjadi lebih selektif.

“Polis yang jaga kes saya pun pesan, habis saya jika salah pilih kawan. Saya ambil serius nasihat itu. Sekarang, saya lebih selektif. 

“Jika dahulu saya sangat peramah walaupun dengan orang yang tidak dikenali, sekarang saya akan lebih banyak berdiam diri. 

“Bukan sombong, tetapi saya risau. Apa yang berlaku telah mematangkan diri saya untuk menjadi manusia yang lebih baik,” kongsi Niezam lagi.

Lantang

Sambungnya lagi, gara-gara ‘check’-in’ kerana kes dadah, dia kini sedar bahawa keluarga adalah orang terpenting dalam kehidupannya.

Saat dia ditahan dan berada di mahkamah, tiada seorang pun rakan yang menyokongnya selain keluarga.

“Selepas ditahan, saya sedar seramai mana kawan saya ada, tidak boleh lawan dengan nilai dan kasih sayang keluarga.

“Keluarga sahaja menerima saya baik dan buruk. Jadi, sekarang apa sahaja saya lakukan adalah mahu membanggakan keluarga,” katanya.

Niezam kini muncul dengan filem terbahaharu arahan Ahmad Idham berjudul Tembuni Berdarah. 

Tambah Niezam lagi, disebabkan episod gelap itu, dia kini menjadi lebih lantang bersuara terhadap sebarang isu jika merasa berada di pihak yang benar.

Tidak berniat untuk meraih publisiti murahan, tetapi dia kini berani menegakkan keadilan dan enggan kisah negatif berlegar di sekelilingnya lagi.

“Sebenarnya, saya pun perasan kini lebih berani dan lantang bersuara dalam media sosial. Pantang dicuit netizen, jika isu itu tidak benar dan memberi impak negatif , saya tidak akan teragak-agak untuk bersuara.

“Dulu saya tidak kisah apa orang hendak cakap tentang diri saya. Memang langsung tidak peduli. Tetapi sekarang saya sedar komen negatif atau gosip yang tidak benar boleh membuatkan orang ramai memandang saya secara negatif,” tuturnya.

Berbicara tentang karier seninya,  terbaharu Niezam muncul dengan sebuah filem seram berjudul Tembuni Berdarah arahan Ahmad Idham.

Menurut Niezam, diberi peluang berlakon di bawah Ahmad Idham  yang sebelum popular dengan filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak adalah satu penghormatan.

Tembuni Berdarah

“Saya pernah bekerja dengan Ahmad Idham, tetapi untuk filem genre permotoran iaitu Mat Moto pada 2015. Ini kali pertama untuk filem seram.

“Sebenarnya saya sudah lama kagum dengan hasil kerjanya sejak dulu, tidak sangka dalam filem Tembuni Berdarah saya diberi kepercayaan untuk memegang watak Aidan,” ujarnya.

Meskipun pada asalnya watak Aidan lakonannya adalah sangat ringkas, tetapi ketika penggambaran wataknya dikembangkan menjadi agak banyak di dalam filem.

Niezam enggan lagi terjerumus dalam episod hitam yang hampir membunuh karier seninya. 

“Satu perkara yang saya suka bekerja dengan Ahmad Idham adalah dia terbuka untuk menerima pendapat pelakon mahupun kru.

“Jadi, filem ini adalah karya satu pasukan dan melihatnya di layar perak membuatkan saya bangga dan berharap penonton juga merasai segala emosi dalam filem itu,” tuturnya menutup bicara.

Filem Tembuni Berdarah yang diterbitkan Lindo Production Sdn. Bhd. dibintangi oleh Sophia Albarakbah, Khatijah Tan, Sharifah Shahora, Riezman Khuzaimi dan Mia Nasir kini rancak ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 25 September lalu.

 

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok