‘Pukul 4 pagi Kak Ja mesej, beritahu mereka dikepung’

PENYANYI Amira Othman mengakui jiwanya cukup terkesan apabila mendapat perkhabaran penahanan 23 sukarelawan Malaysia oleh tentera Israel yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, semalam.

Ujar Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 31, dia tidak mampu melelapkan mata selepas menerima berita tersebut.

“Kalau cerita tentang mereka, memang meremang bulu roma.

“Saya beritahu Fattah yang saya tidak boleh tidur semalam,” katanya dalam TikTok.

Lebih menyayat hati, pelantun lagu Bila Nak Kahwin itu turut mendedahkan salah seorang sukarelawan, penyanyi Heliza Helmi sempat menghubunginya dalam keadaan cemas ketika kapal mereka dikepung tentera Zionis.

Dia dalam masa sama menyeru masyarakat agar tidak putus mendoakan keselamatan barisan aktivis berkenaan.

Pukul 4 lebih pagi, Kak Ja sempat mesej saya beritahu mereka dikepung. Sampai sekarang terbayang-bayang mesej itu. Hati jadi tidak tenang.

“Sebelum kita mula apa-apa, kita doakan dulu keselamatan mereka. Mudah-mudahan Allah lindungi dan permudahkan urusan semua,” tambahnya.

Antara sukarelawan lain yang terbabit dalam misi berkenaan termasuklah Nurul Hidayah Mohd Amin atau Ardel Aryana, Zizi Kirana, Farah Lee, Zulfadhli Khiduddin, Rusydi Ramli, Musa Nuwayri, Muaz Zainal, Haikal Abdullah, Iylia Balqis serta Sul Aidil.

Namun, laporan terkini mengesahkan kesemua mereka berada dalam keadaan selamat dan dijadualkan pulang ke tanah air melalui sebuah negara ketiga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok