PUTRAJAYA – Dataran Putrajaya sekali lagi menjadi saksi kemeriahan apabila lebih 1,000 pemilik basikal lipat dari dalam dan luar negara menerusi Himpunan Mega Basikal Lipat Kebangsaan 4.0 (HMBLK) yang berlangsung dalam suasana penuh warna-warni.

GELAGAT peserta yang menyertai Himpunan Mega Basikal Lipat Kebangsaan 4.0 di Putrajata baru-baru ini.
Acara tahunan yang memasuki edisi keempat penganjuran selepas edisi pertama di Matic Kuala Lumpur, kedua di Sunway Big Box, Iskandar Puteri Johor dan ketiga di Kuantan, Pahang. HMBLK kini terus berkembang menjadi platform terbesar menghimpunkan komuniti basikal lipat di Malaysia.

WAJAH-wajah ceria peserta Himpunan Mega Basikal Lipat Kebangsaan 4.0.
Tahun ini, acara dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Wilayah Kuala Lumpur (JKKN) sempena Festival Permainan Malaysia, dengan sokongan padu daripada Perbadanan Putrajaya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

GELAGAT peserta Himpunan Mega Basikal Lipat Kebangsaan 4.0.
“Saya bersama pasukan HMBLK ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang menyokong acara ini, begitu juga dengan penaja hadiah dari beberapa kelab basikal lipat yang terlibat. Jasa semua amat kami hargai”. “Program HMBLK untuk tahun ini turut menerima peserta dari beberapa negara seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, China dan Taiwan”. Ujar Nasir Deraman selaku Pengarah Projek.

SEKITAR kayuhan Himpunan Mega Basikal Lipat Kebangsaan 4.0.
Kayuhan santai, pengalaman luar biasa
Kayuhan sejauh 20 kilo meter (km) di sekitar Putrajaya memberi pengalaman unik kepada peserta, terutamanya yang pertama kali menjejakkan kaki ke pusat pentadbiran negara ini. Pemandangan indah bangunan ikonik serta laluan yang bersih dan teratur menjadi daya tarikan utama.
Seorang peserta dari Perlis pula menyifatkan acara kayuhan tersebut sebagai sangat meninggalkan kesan, selain beriaddah dia dapat berjumpa dengan rakan-rakan yang sebelum ini hanya berhubung melalui media sosial.

PESERTA kayuhan terdiri daripada pebagai lapisan usia.
“Sekarang kami dapat berkayuh bersama-sama. HMBLK memang terbaik dan wajib diteruskan setiap tahun,” kataanya.
Sementara itu, wakil dari Batam Folding Bike, Indonesia, Rizal Saputra yang kali pertama menyertai acara berkenaan pula kagum dengan pemandangan dan fasiliti kawasan riadah berbasikal di sekitar pusat pentadbiran negara itu.
“Ini kali pertama kami berkayuh di Putrajaya. Kawasan ini sangat cantik dan bersih. Kami membawa rombongan 15 orang dan sangat teruja dengan pengalaman ini. Pasti kami akan datang lagi untuk edisi seterusnya,” kata Rizal.

GELAGAT peserta Himpunan Mega Basikal Lipat Kebangsaan 4.0.
Melihat sambutan hebat yang diterima, penganjur kini merancang untuk melaksanakan HMBLK 5.0 dengan skala lebih besar. Justeru, mereka mengalu-alukan sokongan dan tajaan daripada pihak korporat bagi menampung kos penganjuran, seterusnya menjadikan acara ini sebagai agenda tahunan yang dinanti-nantikan. – HIBGLAM