Enggan jadi jaguh kampung, TVS luaskan capaian ke arena global

TV Sarawak (TVS) terus membuktikan keupayaan sebagai stesen televisyen dinamik apabila mengorak langkah lebih jauh dalam usaha meluaskan capaian ke peringkat global menerusi platform penstriman TVS+.

Ketua Kandungan Kreatif Sarawak Media Group, Jamal Abdullah menegaskan TVS tidak pernah bercita-cita menjadi saluran bersifat kampung semata-mata sebaliknya mendunia.

“Sejak awal, visi Premier Sarawak jelas. TVS bukan sekadar stesen tempatan, tetapi satu platform yang perlu berkembang ke spektrum lebih luas, capaian lebih besar serta pengaruh lebih meluas.

“Hari ini landskap penyiaran sudah berubah. Penonton tidak lagi hanya bergantung pada televisyen linear, sebaliknya lebih gemar menonton secara digital. Dengan satu klik, anda boleh mengakses siaran dari Vietnam, Afghanistan hingga Scandinavia.

TV Sarawak komited mengekalkan kekuatan identiti Borneo dengan menyalurkan program bertemakan tradisi dan warisan ke layar televisyen.

“Kami mahu TVS berada pada tahap itu, menjadi sebahagian daripada peta penyiaran dunia. Platform OTT memberi peluang sesiapa sahaja menonton kandungan kami tanpa batas,” katanya pada sidang media TVS Spotlight 25/26, di sini, baru-baru ini.

Tambah Jamal, TVS terus mengekalkan kekuatan identiti Borneo dengan menyalurkan program bertemakan tradisi dan warisan ke layar televisyen seluruh negara.

“TVS bukan sahaja mengangkat budaya, tetapi juga menjadikan identiti Borneo dekat dengan hati rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah .

“Komitmen TVS jelas. kami mahu memperkukuh ekosistem kreatif Malaysia dengan terus memberi ruang kepada bakat tempatan agar industri ini terus subur.

“Jenama kini tidak terikat pada satu medium sahaja. Semua perlu berada di skrin televisyen, telefon pintar, jalan raya malah papan iklan. TVS memberi ruang menyeluruh untuk hubungan antara penonton dan jenama lebih kukuh,” tegasnya.

Setakat ini, TVS telah bekerjasama dengan lebih 300 vendor tempatan dan berjaya membuka lebih 3,000 peluang pekerjaan untuk anak seni serta penggiat industri kreatif.

Dengan strategi digital semakin agresif, TVS yakin rangkaian penyiarannya akan menyusup lebih luas, sekali gus memperkukuh kedudukan sebagai pemain utama industri televisyen negara serta pesaing di rantau Asia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok