‘Ada banyak cara berjuang untuk Palestin, perjuangan saya berbeza’

CAKNA dengan isu kemanusiaan di Gaza, pelakon Datuk Remy Ishak berpendapat selebriti perlu terus bersuara mengenai kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Bagaimanapun, Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 43, memilih untuk menyokong saudara seagama di sana dengan cara tersendiri tanpa perlu didedahkan kepada umum.

“Saya, malah kita semua pasti memperjuangkan hak Palestin. Sebagai selebriti, kita juga perlu bersuara untuk Palestin.

“Ada banyak cara kita berjuang untuk Palestin. Perjuangan saya berbeza, kalau saya nak bagi ‘point of view’ saya, besar.

“Apa yang saya kaji, banyak pengertiannya. Perjuangan saya, tak perlulah nak beritahu orang. Biar saya sahaja yang tahu,” katanya  pada majlis pelancaran kenderaan SUV GAC EMKOO di pejabat GAC Glenmarie, di sini, hari ini.

Ketika ini tumpuan rakyat Malaysia dan antarabangsa fokus kepada sukarelawan konvoi GSF ke Gaza termasuk artis tempatan yang ditahan tentera Israel.

Penyertaan penggiat seni dalam dalam misi mencabar itu turut mendapat sokongan ramai serta rakan artis lain yang menunjukkan solidariti mereka terhadap Palestin menerusi pelbagai cara lain.

Dalam majlis berkenaan, pelakon filem Pulang itu diumumkan sebagai duta kereta terbaru keluaran GAC.

Remy mengakui teruja diberikan kepercayaan sebagai duta kepada kenderaan GAC EMKOO dengan kontrak selama dua tahun.

“Saya berbangga dapat kerjasama dengan GAC dan Tan Chong Motor, mereka membawa kemajuan dari segi teknologi atas automatif.

“Keperluan ini memang dicari rakyat Malaysia, semua nak teknologi baru bukan sahaja dari telefon tapi kenderaan pun.

“Bukan sahaja dari segi teknologi tapi keselamatan, apa lagi kita mahukan untuk kita dan ahli keluarga. Jadi, saya teruja dapat bekerjasama,” ujarnya lagi. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok