HARI yang penuh debaran, pelakon Nadzmi Adhwa masih ternanti-nanti kemas kini terbaharu keadaan isterinya, Ardell Aryana yang kini ditahan pihak Israel di lokasi tidak diketahui ketika ini.
Menurut Nazdmi, dia masih tidak melelapkan mata sehingga kini kerana diselubungj perasaan bimbang memikirkan situasi Ardell yang merupakan salah seorang sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) apabila gagal dihubungi ketika ini.
“Saya tak tidur sejak malam tadi tetapi dalam masa sama menunggu.
‘Call time’ saya pukul 11 pagi, masih menanti kemas kini terbaharu daripada pihak yang berkaitan,” katanya.
Dalam masa sama, dia memohon orang ramai berhenti menyebarkan berita tidak benar yang mendakwa berlaku penyeksaan terhadap aktivis yang ditahan.
“Tolong jangan sebarkan info yang salah dan tidak sahih.
Saya menerima khabar bahawa tiada apa-apa penyeksaan atau sebarang tembakan berlaku.
“Bawa bertenang dan mari kita teruskan berdoa untuk mereka semua. Allah ada, serah kepada Allah,” ujarnya.
Tiada apa yang dapat dilakukannya ketika ini, dia hanya berharap Ardell sentiasa dalam keadaan selamat.
Jika tidak ditahan sepatutnya sudah boleh hubungi.
“Apa saya nak buat? Hanya berdoa sahaja,” ujarnya.
Nadzmi memberitahu, pihak Sumud Nusantara Command Centre (NSCC) juga sudah menghubunginya dan meminta untuk hadir ke pusat tersebut bagi memantau keadaan semasa kapal dinaiki isterinya ketika ini.
Sumud Nusantara Command Centre ada hubungi dan minta supaya waris Ardell berkumpul di pusat operasinya bagi bersama-sama memantau perkembangan terkini kapal dinaiki Ardell,” katanya lagi.
Difahamkan, kali terakhir Ardell berkongsi perkembangan adalah ketika kapal Mikeno yang dinaikinya diserang rejim Zionis.
Sehingga pagi tadi, akaun laman sosial Sumud Nusantara Official melaporkan seramai 17 sukarelawan Malaysia ditahan rejim Israel termasuk penyanyi Zizi Kirana, Heliza Helmi dan pempengaruh Hazwani Helmi. – HIBGLAM