“Israel datang dengan bot besar dan lemparkan cecair warna putih.”
Demikian perkongsian penyanyi Heliza Helmi memaklumkan Israel menghampiri bot dinaiki mereka sebelum melempar cecair dipercayai untuk menyekat perjalanan mereka ke Gaza, Palestin.
Meskipun dikelung dengan bot besar, Heliza atau nama lengkapnya Nur Heliza Helmi, 39, menegaskan dia sentiasa yakin dengan kuasa Allah SWT yang lebih hebat.
“Tolong rakam, takut saya tak sempat buat hantaran. Israel datang dengan bot besar dan lemparkan cecair warna putih sehingga bot kami bergegar dan licin.
“Kami punya kapal sangat licin macam nak tenggelam pun ada dan mata pedih.
“Bot mereka memang sangat besar tapi kita ada Allah Maha Besar,” katanya dalam sebuah siaran langsung.
Pada masa sama, Heliza turut memuji keberanian kapten botnya yang tidak henti-henti menyarankan untuk merakam detik-detik dihampiri kapal Israel bagi menjadi bahan bukti kekejaman mereka.
“Kapten ini memang sangat bagus. Kalau ikutkan kena buang telefon terus, tapi dia suruh rakam videi dan tunjuk kejahatan mereka.
“Dia memang ada jiwa besar selalu cakap ‘Jom ke Gaza’. Kapten memang kuat semangat, Allah bagi. Dia berani betul,” ujarnya.
Setakat ini, Kapal Alma yang membawa tiga rakyat Malaysia iaitu Sul Aidil Sudi, Ahmad Musa Al Nuwayri Kamaruzaman dan Iylia Balqis Suhaimi ditangkap tentera Israel.
Selain Heliza, delegasi dari Malaysia yang berlepas dari tanah air pada 31 Ogos lalu turut disertai penyanyi Hazwani Helmi, Zizi Kirana, Ardell Aryana serta pempengaruh, Farah Lee. – HIBGLAM