“Aku meredaimu kerana Allah. Jumpa nanti insya-Allah.”
Itu lafaz penuh ketulusan usahawan Datuk Mahadi Badrul Zaman saat melepaskan isterinya, penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Datin Heliza Helmi menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Mahadi, 41, memohon doa orang ramai selain reda dan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah demi perjuangan kemanusiaan.
“34 jiwa dari Malaysia berlayar membawa misi kemanusiaan. Salah satunya adalah zaujahku, Heliza.
“Teruskan berdoa lebih dari biasa, semoga semuanya selamat sampai dan pulang dengan kemenangan. Wahai rakyat Malaysia, jangan putuskan doa kita buat para pejuang kemanusiaan Global Sumud Fortilla yang kini berada di perairan Gaza.
“Semoga Allah melindungi, mempermudah urusan, memberkati pengorbanan mereka, terus diberi kekuatan, kesabaran dan pulang dengan selamat,” katanya dalam Instagram.
Heliza, 39, pula menzahirkan rasa terharu dengan restu suami, sekali gus memberi kekuatan untuk terus berlayar.
“Terima kasih kerana memberi keizinan dan reda. Ku serahkan dirimu dalam penjagaan Allah. Amin,” balasnya.
Bagaimanapun, setakat jam 8 pagi waktu tempatan, 17 rakyat Malaysia termasuk Heliza dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas.
Antara sukarelawan yang disahkan ditahan termasuk penyanyi Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga, selain Musa Nuwayri, Iylia Balqis, Sul Aidil (Alma), Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (Sirius).
Dalam perkembangan sama, SNCC memaklumkan sembilan kapal kini berada dalam status ‘diserang’, manakala 13 kapal lain sudah menghantar isyarat ‘kecemasan’. – HIBGLAM