’Jika apa-apa berlaku, tolong jaga ibu, adik-beradik kita’

MENABUR bakti menuju Gaza bersama misi jitu, penyanyi Zizi Kirana menitipkan mesej syahdu buat adiknya, Nurul Nazielah agar menjaga keluarga jika terjadi apa-apa tidak diingini sepanjang mengikuti konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) ke bumi dijarah Zionis itu.

Zizi atau nama lengkapnya, Nur Fazelah Mad Tahil, 40, berkata, adik perempuannya itu dipertanggungjawabkan untuk mengambil alih tugasnya sebagai kakak sulung.

“Ini adik perempuan saya nombor dua selepas saya. Jika apa-apa berlaku kepada saya, dialah yang akan menggantikan tempat saya sebagai kakak sulung.

Kakak Ela (nama panggilan), terima kasih untuk kasih sayang dari kecil kita sama-sama, tak pernah gaduh, tak boleh berpisah. Kalau berpisah sekejap mesti nangis.

“Saya tahu awak wanita kuat walaupun kadangkala awak sedikit beremosi. Jaga diri awak baik-baik dan famili kita. Jadi contoh yang baik untuk adik-adik kita yang lain.

Tolong jaga ibu serta adik beradik kita, berikan mereka kasih sayang yang melimpah ruah. Semoga Allah sentiasa melindungi awak semua. Sayang kamu Kakak Ela,” tulisnya dalam InstaStory.

Ketika ini isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin itu bersama sukarelawan dari 45 negara lain yang menyertai misi bantuan ke Palestin sudah memasuki zon kuning iaitu sekitar 300 batu nautika dari Semenanjung Gaza.

Sepanjang pelayaran yang bermula pada awal bulan lalu, 54 kapal layar dan bot menuju perairan Gaza berdepan cabaran terutama ketika hampir ke zon kuning selaku kawasan berisiko apabila dipantau dan ditakutkan dengan kehadiran dron dipercayai milik tentera Israel.

Menerusi hantaran lain, Zizi memaklumkan semua sukarelawan kini dalam proses memunggah barang bantuan dibawa sebelum mereka memasuki kawasan lebih berisiko iaitu zon merah.

Pada perkongsian sama, pihaknya juga menzahirkan terima kasih atas sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi naungan kepada Sumud Sumatera.

Hari ini tak sempat tidur lepas shift semalam sebab ada mesyusrat persiapan terakhir kami, kemudian ada meeting dengan PMX. Masya-Allah, Tabarak-Allah.

“Terima kasih Perdana Menteri Malaysia yang tak putus-putus memberikan sokongan dan naungan kepada Sumud Sumatera.

“Sekarang masa untuk kami bungkus dan siapkan apa yang perlu sebab tak sabar jumpa saudara di Gaza,” katanya.

Selain Zizi, 34 delegasi dari Malaysia yang berlepas dari tanah air pada 31 Ogos lalu turut disertai penyanyi Ardell Aryana, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi serta pempengaruh, Farah Lee.

Dalam perkembangan terkini, seorang sukarelawan Turkiye memaklumkan sebuah kapal Israel berada sekitar 50 nautika dari flotila mereka malam tadi sekali gus langkah berjaga-jaga diambil semua ahli konvoi yang bimbang risiko dipintas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok