‘Sesetengah pasangan boleh kawan lepas cerai, tapi bukan saya’

KEMBALI menduda buat kali kedua selepas lafaz talak disahkan mahkamah, pelawak dan pelakon Along Cham hanya mahu meneruskan kehidupan dengan tenang, sekali gus melupakan peristiwa lampau sepanjang bersama bekas isterinya, Afreena Suhaimi.

Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, berkata, selepas kemelut yang berlaku antara mereka dia enggan lagi mempunyai sebarang urusan dengan wanita terbabit.

Sekali lagi saya cakap, saya mahu ‘move on’. Mungkin ada sesetengah pasangan selepas bercerai mereka masih boleh berkawan, namun tidak pada saya.

“Melihat apa yang dia lakukan terhadap saya selama ini terutama sejak hari pertama saya ditahan, memang bermacam-macam dugaan saya tempuh.

“Jadi lebih baik begini. Kita teruskan kehidupan masing-masing,” katanya ketika ditemui HibGlam selepas prosiding pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.

Along yang diwakili peguamnya, Muhammad Akmal Amzan turut menzahirkan perasaan lega apabila kes perceraiannya menemui penamat selepas lama menunggu keputusan.

“Alhamdulillah, saya lega kerana setahun perkara ini (kes cerai) berjalan. Sekarang saya mahu ‘move on’ dan teruskan kehidupan.

Saya bersyukur apabila sentiasa ada ibu di sisi memberikan sangat, selain masih ramai yang mendoakan kesejahteraan saya. Terima kasih semua.

“Ujian yang saya tanggung bukan dalam perkahwinan sahaja tetapi malapetaka turun menimpa kerjaya iaitu ketika ditahan di Penjara Sungai Buloh,” ujarnya.

Ditanya perceraian tersebut menunjukkan kegagalannya sebagai suami, Along mengakui kekurangan dirinya selain sedia untuk lebih bertanggungjawab di kemudian hari.

“Nak salahkan orang lain pun tidak boleh kerana pada akhirnya berbalik kepada tanggungjawab seorang suami.

Orang pasti akan cakap saya gagal mendidik isteri, saya akui semua itu. Saya gagal mengemudi rumah tangga ini dengan baik.

“Fasal serik untuk berkahwin pada masa depan mungkin tidak, saya anggap semua ini ujian dalam perkahwinan serta dapat belajar sesuatu,” ujarnya.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang hari ini mengesahkan Along dan Afreena sah bercerai talak satu

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024, namun hubungan mereka goyah sehingga pelakon terbabit melafazkan talak sebanyak dua kali iaitu pada Jun dan Julai 2024.

Sebelum itu, Along pernah berkahwin dengan penyanyi Zila Saeron pada September 2016 dan mereka dikurniakan anak lelaki, Ahmad Daniel, 14 yang kini di bawah jagaannya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok