HAMPIR setahun naik turun mahkamah, ikatan perkahwinan antara pelawak Along Cham dan isterinya, Afreena Suhaimi berakhir dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.
Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi mensabitkan berlakunya talak rajie seperti dilafazkan Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, pada 18 Jun 2024.
Mahkamah yang memerintahkan Afreena, 33, menjalani tempoh idah selama tiga kali suci turut menitipkan pesanan kepada pasangan itu sebelum pengesahan lafaz talak.
Belajarlah bersabar dalam perkahwinan kerana rumah tangga tempat ujian. Allah uji masing-masing. Sama macam nikah, cerai dan rujuk juga perlu diajukan kepada pihak berkaitan,” katanya.
Pada prosiding yang berlangsung selama sejam itu, Hakim turut mengesahkan tiada berlakunya rujuk seperti kenyataan pelakon terbabit dalam dokumen mahkamah.
Semasa prosiding, Along diwakili peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan, manakala Afreena diiringi peguam Mohamad Iezwan Ielias.
Sementara itu, pelakon filem Adnan Sempit itu mengakui lega apabila isu rumah tangganya selesai selain menganggap dirinya gagal mendidik isteri.
Saya akui gagal mengemudi rumah tangga yang masih baru. Lapan tahun saya ambil masa membuat keputusan untuk berkahwin semula.
“Tak sangka jadi macam ini. Jadi situasi sebegini tetap berbalik kepada kekurangan saya sebagai suami,” katanya selepas prosiding pengesahan lafaz talak, di sini, hari ini.
Afreena pula bersyukur selepas prosiding hari ini berjalan lancar selain mengakui sudah lama meneruskan kehidupan.
Seperti yang saya jangka, hari ini mahkamah sudah mengesahkan lafaz talak. Saya sudah ‘move on’ lama. Hidup perlu diteruskan.
“Tumpuan saya sejak dahulu memang pada anak-anak, keluarga dan kerjaya saya,” ujarnya.
Ogos lalu, lafaz cerai yang sepatutnya dibuat pelakon terbabit ditangguhkan ke tarikh hari ini disebabkan hujah balasan defenden iaitu Afreena terlalu panjang.
Terdahulu, Along memfailkan pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap isterinya, di Mahkamah Syariah Putrajaya pada 28 Januari lalu.
Kemelut dalam perkahwinan pasangan itu menjadi perhatian selepas Along mengemukakan isterinya didakwa melanggar beberapa perjanjian taklik termasuk tidak patuh dan membelakangkan suami.
Pada masa sama, dakwaan plaintif mengenai lafaz rujuk yang dibuatnya juga tidak diakui pihak isteri sehingga proses mahkamah menjadi panjang.
Along yang mendirikan rumah tangga dengan Afreena pada 4 April tahun lalu melafazkan cerai di rumahnya di Cyberjaya pada Julai 2024. – HIBGLAM