SELEPAS mencipta sejarah empat persembahan mega berturut-turut, kumpulan KRU bakal menutup siri GenKRU dengan Konsert GenKRU The Finale One More Time pada 22 November depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Icon Entertainment, Iman Tang, berkata Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di ibu negara menjadi pilihan bagi merealisasikan konsert tersebut yang dirancang berskala lebih besar dari segi produksi serta persembahan.
“Kami dapat maklum balas ramai mencadangkan supaya konsert GenKRU ini diadakan di luar Kuala Lumpur, namun terdapat banyak faktor perlu diambil kira.
“Selepas berbincang, kami memutuskan untuk menganjurkannya semula di ibu negara dengan skala penerbitan yang lebih besar dan tentu sahaja bertambah baik.
“Trio KRU juga sependapat tetapi bukan bermakna kami ‘downgrade’ atau enggan jelajah ke negeri lain, cuma perlu banyak pertimbangkan perkara lain kerana kita mahu buat sesuatu yang mega,” katanya pada pengumuman konsert GenKRU The Finale One More Time hari ini.
Akui Iman, konsert yang bakal disajikan itu nanti juga akan memberikan pengalaman berbeza kepada 12,000 penonton di gelanggang terbabit.
“Kami enggan mengulangi perkara sama kerana penonton kini semakin bijak menilai. Banyak idea sebenarnya dalam kepala yang akan diperincikan secara bersama-sama.
“Sebenarnya saya agak bosan dengan situasi sebegitu. Sudah tentu, dengan KRU yang sentiasa lapar dengan idea baharu, kami saling melengkapi.
“Boleh sahaja kami ulang formula sama, tetapi tentu sahaja membosankan. Saya tahu trio bersaudara itu juga mempunyai banyak ilham yang ingin diterjemahkan,” ujarnya.
Sementara itu, anggota KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata, mereka ingin membawa pengalaman ketika Konsert GenKRU yang berlangsung pada Mei lalu di lokasi luar atau di gelanggang terbuka.
“GenKRU kali ini boleh diibaratkan sebagai ‘re-imagine’ dari lokasi tertutup ke gelanggang terbuka, dengan skala yang lebih besar berbanding GenKRU di Axiata Arena sebelum ini.
“Kami berhasrat untuk ‘raise the bar’. Ini satu penghormatan besar bagi kami apabila dapat menjadi artis solo mengadakan konsert di lokasi ini.
“Soal repertoire persembahan, sudah pasti semuanya akan ditambahbaik kerana KRU adalah penghibur. Kita tak mahu buat benda sama,” ujarnya,” katanya.
Bagi tempahan tiket, kaunter akan dijual pada harga RM188 hingga RM558 bermula 3 Oktober ini, pukul
2 petang.
Terdahulu, KRU yang turut dibarisi Datuk Yusry dan Edry mencetuskan fenomena susulan penganjuran Konsert GenKRU 2025 selama empat hari diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR).
Bukan hanya KRU, Icon Entertainment selaku penganjur turut menerima pengiktirafan MBR di bawah kategori Penjualan Tiket Konsert Terpantas Dalam Tempoh 1 Jam. – HIBGLAM.