SELEBRITI terkenal antarabangsa, Selena Gomez, 33, sah bergelar isteri kepada penerbit muzik, Benny Blanco, 37, dalam sebuah majlis perkahwinan yang berlangsung di Santa Barbara, California pada Sabtu.
Pasangan yang mendapat perhatian ramai itu memilih untuk mengadakan majlis secara sederhana dengan menjemput keluarga terdekat dan sahabat rapat. Beberapa artis ternama dilaporkan turut hadir memberi sokongan.
Pada majlis penuh romantis itu, Selena tampil anggun dalam busana perkahwinan berwarna putih rekaan Ralph Lauren sementelah Blanco memakai tuksedo hitam daripada pereka yang sama.
Selena turut berkongsi momen hari bahagianya dengan memuat naik beberapa foto kenangan beserta video dalam Instagram.
Sebelum melangsungkan perkahwinan, mereka terlebih dahulu mengikat tali pertunangan pada Disember tahun lalu.
Hubungan Selena dan Benny sering mendapat perhatian ramai kerana kerana diibaratkan seperti kisah dongeng Beauty And The Beast.
Namun Selena tetap mencintai Benny seadanya kerana berasakan lelaki tersebut lebih baik berbanding mana-mana lelaki yang pernah menjalin hubungan dengannya.
Dia melayan saya lebih baik daripada mana-mana manusia di planet ini. Dia adalah segala-galanya bagi saya,” kata Selena.
Mengimbas semula detik perkenalan pasangan itu, mereka mula mengenali satu sama lain pada tahun 2015 apabila Benny menjadi penerbit bersama untuk lagu Selena yang berjudul Same Old Love. Sejak itu mereka mula berkolaborasi menghasilkan lebih banyak lagu termasuklah I Can’t Get Enough dan Single Soon.
Selena pernah menjalin cinta dengan penyanyi terkenal Justin Bieber dan pernah datang ke Kuala Lumpur untuk menemani penyanyi itu melakukan konsert di sini pada tahun 2012. Kunjungan mereka berdua ke pusat beli-belah Wangsa Walk pernah menjadi tular dan bualan hangat rakyat Malaysia. – HIBGLAM