PENGARAH Murali Abdullah meluahkan hasrat untuk menerbitkan sebuah drama khas yang bakal menyatukan pelawak veteran, Sathiya dan penyanyi legenda kumpulan Alleycats, David Arumugam dalam satu naskhah kelak.
Murali, 62, berkata, drama tersebut bakal disiarkan menerusi platform YouTube selain menjadi saluran untuk mengumpul dana membantu Sathiya yang baru-baru ini kehilangan kaki kirinua akibat penyakit kencing manis kronik.
“Saya sangat meminati David. Memang terdetik dalam hati saya untuk menyatukan dia dengan Sathiya dalam satu drama YouTube.
Kalau saya hasilkan drama ini dengan tujuan untuk kutip derma buat Sathiya, anda semua akan tonton tak?” katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook.
Tambah Murali, naskhah tersebut bakal menyelitkan elemen komedi, muzik dan emosi seperti yang sering diketengahkan dalam naskhah-naskhah terdahulu arahannya.
“Sebuah drama komedi, ada muzik dan menyentuh perasaan.
“Itu memang ‘trademark’ saya. Saya memang suka buat penonton menangis.
“Kalau anda setuju dengan projek ini, cuba beri tajuk dan sedikit jalan cerita. Jangan pula minta bayaran sampai dua juta ringgit, ya. Saya bergurau sahaja,” katanya lagi.
Terdahulu, Sathiya, 61, dimasukkan ke Hospital Ampang pada 19 September sebelum menjalani pembedahan pemotongan kaki kirinya akibat komplikasi serius penyakit kencing manis yang dihidapinya.
Sebelum itu, pada akhir Julai lalu, ibu jari kaki kanan Sathiya terpaksa dipotong agar tidak merebak ke bahagian lain. – HIBGLAM