PELAKON Datin Atikah Suhaime berdepan detik cemas apabila anak perempuan kesayangannya, Lyla Mulan terjatuh dari buaian elektrik semalam.
Lebih meninggalkan pengalaman buruk, Atikah atau nama penuhnya Nur Atikah Nur Atikah Suhaime, 34, berkata, kejadian tersebut berpunca daripada salahnya sendiri kerana memasang buaian tersebut tidak mengikut cara yang tepat.
“Tolong jangan beli buaian elektronik sebab Mulan jatuh.
“Sebenarnya ini kesilapan sendiri. Selepas suami lihat, saya pasang buaian itu dengan cara yang salah dan sudah gunakannya hampir tiga bulan.
“Ini adalah salah saya dan sekali lagi gagal menjadi ibu yang baik,” katanya dalam InstaStory.
Tambahnya, perkara tersebut membuatkannya trauma, namun bersyukur Mulan tidak mengalami kecederaan serius dan berada dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah dia okey. Mummy minta maaf. Tidak kira betapa banyak kerenah anak kalian, tak mengapa dan pegang sahaja mereka.
“Berhenti lakukan sebarang perkara, jaga anak kalian kerana mereka hanya membesar sekali sahaja.
Saya sangat trauma dengan kejadian semalam tetapi melihat Mulan akhirnya makan bubur, sudah cukup menggembirakan saya,” katanya lagi.
Jelas Atikah, kejadian tersebut turut membuatkannya terfikir bagaimana golongan ibu lain menjaga anak mereka seorang diri tanpa khidmat pembantu.
“Walaupun ada pembantu, saya hanya tinggalkan Mulan sekejap sahaja untuk tunaikan solat Asar tetapi terjadi perkara sebegitu.
“Saya terfikir bagaimana ibu-ibu lain yang tiada pembantu.
“Bagaimana mereka jalani rutin kehidupan dengan bekerja tetapi dalam masa sama menjaga anak. Semoga ibu-ibu lain dilindungi Allah SWT,” kongsinya.
Terdahulu, Atikah mendirikan rumah tangga dengan usahawan Datuk Lokman Teh pada Januari 2024.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan Lyla Mulan pada 8 Mac lalu. – HIBGLAM