BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila memuat naik sebuah hantaran berbentuk teaser misteri di laman Instagram miliknya.
Menerusi perkongsian itu, Siti, 46, atau lebih mesra disapa TokTi memuat naik imej sebuah lif terbuka yang menempatkan satu figura tertutup kain berwarna perak dengan papan tanda digital di atasnya memaparkan perkataan “NEXT”.
Pada bahagian dada figura berkenaan turut tergantung papan kecil bertulis “Next?”.
Lebih mencetuskan tanda tanya apabila Siti hanya menulis kapsyen ringkas: “The wait is almost over.. Hang tight, we are almost there..” (Penantian hampir berakhir… bersabarlah, kita hampir sampai).
Perkongsian itu pantas mencuri perhatian lebih 9 juta pengikut Instagram beliau yang rata-ratanya membanjiri ruangan komen dengan pelbagai spekulasi.
Ada yang menjangkakan hantaran itu mungkin projek album baharu, konsert mega, malah tidak kurang juga yang meneka beliau bakal muncul dengan kolaborasi istimewa bersama artis antarabangsa.
“Saya teka Siti Nurhaliza 30 Golden Years Live at Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), January 2026,” demikian antara komen peminat.
Sehingga kini, hantaran tersebut meraih hampir 5,000 tanda suka dan ratusan komen dalam tempoh sehari.
Walaupun belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada pihak pengurusan Siti, strategi pemasaran berbentuk teaser ini bukanlah perkara baharu buat diva nombor satu tersebut.
Setiap kali beliau memberi bayangan mengenai projek terbaharunya, pasti akan menjadi perbualan hangat bukan sahaja di Malaysia malah turut mendapat perhatian peminat serantau termasuk di Indonesia, Singapura dan Brunei.
Siti sebelum ini pernah mencatat sejarah sebagai artis dengan konsert paling ramai penonton menerusi penganjuran konsert berskala besar Fantasia Tour pada 2004 yang berjaya mengumpulkan seramai 70,000 peminat di SNBJ.
Bagaimanapun, rekod tersebut berjaya dipintas kumpulan tersohor dunia Coldplay pada 2023 dengan jumlah penonton melebihi 75,000 orang. – HIBGLAM