Kecoh! ‘Miranda Priestly’ muncul di Minggu Fesyen Milan

TULAR dalam media sosial apabila pelakon terkenal Hollywood, Meryl Streep membuat kemunculan di pertunjukan fesyen Dolce & Gabbana sebagai Miranda Priestly dalam acara yang berlangsung di Minggu Fesyen Milan.

Tidak hadir keseorangan, Meryl turut ditemani oleh pelakon, Stanley Tucci, yang memegang watak sebagai orang kanannya dalam filem popular, The Devil Wears Prada.

Kehadiran dua watak ikonik itu meraih perhatian pencinta fesyen dan filem dari seluruh dunia. Rata-rata akaun media sosial majalah fesyen terkemuka dunia berkongsi video kedua-dua figura itu yang melangkah penuh gaya.

“Momen ini sangat epik dan ikonik. Kedua-dua mereka kelihatan sangat hebat dan seluruh hadirin tertumpu kepada mereka berdua. Mereka benar-benar berpengaruh,” komen netizen.

Lebih menarik apabila pertunjukan fesyen tersebut turut dihadiri oleh bekas ketua pengarang majalah Vogue, Anna Wintour.

Meryl dan Anna dilihat sempat bertemu dan berbual selepas pertunjukan fesyen selesai.

Ketika ini, Meryl dan Stanley sedang menjalani penggambaran sekuel filem The Devil Wears Prada 2 bersama seorang lagi pelakon utamanya iaitu Anne Hathaway.

Filem The Devil Wears Prada ditayangkan pada tahun 2006 dan menjadi kegemaran ramai peminat filem dan pencinta fesyen terutamanya watak ikonik Miranda Priestly yang merupakan seorang ketua pengarang majalah fesyen yang cerewet.

The Devil Wears Prada 2 dijangka akan ditayangkan di pawagam seluruh dunia pada 1 Mei 2026. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok