LEBIH dua dekad berkelana dalam industri hiburan, figura jelita Che Puan Juliana Evans hakikatnya sudah meletakkan dirinya di kelas yang tersendiri.
Keanggunan dan bakatnya bagai tidak pernah luntur, malah terus meninggalkan pesona tersendiri pada kanvas hiburan tanah air.
Lebih dua puluh tahun mengabdikan diri dalam industri, Juliana kini berdiri sebagai figura penuh keperibadian.
Bermula sebagai pengacara remaja sebelum mengukuhkan nama dalam bidang lakonan, pemilik nama sebenar Juliana Sophie Johari Evans itu terus utuh meskipun peredaran masa silih berganti.
Dikenali dengan karisma memukau, setiap kemunculannya bak magnet mata khalayak, memancarkan aura puteri kota metropolitan, namun tetap menyimpan sisi bersahaja yang membuat ramai terpikat.
Tidak hairan, namanya kekal meniti dalam memori peminat biarpun sesekali memilih untuk menjarakkan diri daripada pentas glamor.
Di sebalik kehidupan bergelar isteri dan ibu, naluri seni Juliana tidak pernah padam malah masih menyimpan bara semangat untuk terus beraksi di hadapan kamera, sekali gus menandakan dirinya belum bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni.

MAHU terus aktif dalam bidang lakonan, Juliana kini mengintai pasaran Indonesia yang selama ini tergendala disebabkan komitmen keluarga.
Justeru, aktres berusia 36 tahun itu kini sedang mengintai peluang melebarkan sayap ke Indonesia.
Dia mengakui impian itu sudah lama tersimpan, cuma baru kini berani melangkah ke hadapan.
“Saya pernah cuba-cuba menjalani uji bakat untuk sebuah filem seram Indonesia. Uji bakat itu diuruskan ejen di Jakarta, saya hanya hantar video lakonan kepada mereka.
Setakat ini saya masih menanti keputusan. Doakan semoga saya berjaya melebarkan sayap ke seberang.
“Kalau ada rezeki, saya terima dengan hati terbuka. Doakan semoga saya berjaya menjejak kaki ke layar filem Indonesia,” katanya kepada HibGlam.
Pelakon filem Munajjim: Sekutu Iblis itu tidak menafikan cita-cita tersebut sebelum ini terpaksa ditangguhkan kerana fokusnya hanya untuk keluarga.
Mendirikan rumah tangga bersama kerabat Johor dan Selangor, Tengku Shariffuddin Shah, keutamaannya terarah kepada dua anak yang sedang membesar.
“Saya serahkan pada rezeki. Kalau ada, saya terima. Sebelum ini, banyak masa saya habiskan di rumah bersama anak-anak.
“Namun sekarang, saya rasa masa sesuai untuk kembali ke dunia seni yang amat saya rindukan.
“Saya pula sukakan filem seram dari Indonesia, dan pernah ada pengalaman melakonkan genre sama di Malaysia,” ujarnya.
Kendati sudah tekad untuk kembali ke set lakonan sudah dipateri, Juliana berkata tanggungjawab sebagai isteri dan ibu tetap tidak dipandang ringan malah sedar peranan itu menjadi tunggak utama kehidupannya.
“Saya kena buat perancangan teliti sebelum kembali bekerja. Jadual kerja akan saya susun dengan baik. Masa dengan anak-anak tetap menjadi keutamaan.
“Saya mahu terus menikmati hidup walaupun kembali sibuk di set penggambaran. Saya juga akan buat permintaan khas agar dapat sentiasa meluangkan waktu bersama mereka,” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM