“Alhamdulillah, mama dah sedarkan diri, cuma masih dipantau”

PELAKON Azeva Natasha berkongsi khabar gembira apabila ibunya yang juga penerbit, Datuk A. Aida sudah sedarkan diri selepas tiga hari ditidurkan sejak Khamis lalu.

Menurut Azeva, A.Aida atau nama penuhnya Zaidah Awang, 55, kini dalam pemantauan doktor dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Alhamdulillah, mama sudah sedarkan diri, cuma kena selalu dipantau dan masih belum boleh dipindahkan ke wad biasa

“Kepada kawan-kawan mama, minta maaf tetapi memang doktor tak beri orang luar untuk melawat buat masa sekarang sebab takut jangkitan kuman dan tidak mahu ambil sebarang risiko,” katanya dalam Instagram hari ini.

Dalam masa sama, Azeva berharap orang ramai akan terus mendoakan ibunya agar diberikan kesembuhan.

“Saya ingin memohon jasa baik semua untuk terus mendoakan agar mama sembuh sepenuhnya.

“Terima kasih atas doa dan sokongan anda semua,” katanya lagi.

Terdahulu, A. Aida dilaporkan rebah selepas melakukan rawatan fisioterapi dan difahamkan dia baru dua hari menjalani pembedahan pada kedua-dua lututnya.

Begitupun, dia yang dikatakan dalam keadaan sihat selepas pembedahan secara tiba-tiba tidak sedarkan diri selepas sesi rawatan fisioterapi.

Menurut seorang rakan karibnya yang lain, A. Aida terpaksa ditidurkan, manakala punca tahap kesihatannya menurun belum didedahkan kepada umum. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok