‘Retina koyak, mata saya buta sementara’

KILAUAN glamor dunia hiburan sering mengaburi pandangan mata khalayak. Di sebalik senyuman manis yang ditayang di pentas dan layar karya, tersembunyi luka berdarah yang tidak pernah kering dan itulah realiti getir perlu didepani si wanita muda bernama Tracie Sinidol.

Kalungan gelaran juara Dewi Remaja 2021/2022 bukan juga tiket mudah buat si jelita asal Sabah itu untuk menembusi benteng hiburan tanah air.

Menjejakkan kaki ke dalam industri seni sejak 2022, kanvas seni Tracie masih hijau.

Namun anak jati Tambunan itu tekun mewarnai pentas hiburan dengan sebaik mungkin, meskipun langkahnya sering dihimpit cabaran.

Perbandingan dengan aktres Mira Filzah seolah-olah bayang yang tidak mahu pergi.

Paras wajah mirip aktres popular itu membuatkan Tracie sering dituduh menumpang populariti, hingga kadangkala menyesakkan dadanya.

TRACIE pernah berasa bosan sering dibandingkan dengan Mira Filzah, namun akur, kenyataan sebegitu sedikit sebanyak mempopularkan namanya.

Di sebalik keluh resah itu, dia tetap bersyukur kerana perbandingan tersebut sedikit sebanyak membantu melonjakkan namanya.

Pun begitu, pendedahan kali ini bukan sekadar cerita wajah seiras memandangkan khalayak barangkali sudah muak mendengar perihal sebegitu.

Buta sementara

Berpeluang bertemu empat mata, penulis menggali lebih dalam, hingga ke dasar hatinya, mencari sisi tersorot seorang Tracie Sinidol.

Ternyata, dia menyimpan banyak rahsia luka, kisah gelap yang hampir meragut salah satu nikmat paling berharga dalam hidupnya.

Pelakon filem Blood Brothers: Bara Naga itu mengakui pernah berdepan insiden ngeri ketika bermain badminton sehingga matanya buta sementara selama hampir seminggu.

Kejadian itu bukan sahaja mengganggu aktiviti seni, tetapi meragut ketenangan hidup, sekali gus menariknya ke jurang tanpa dasar membuatkan jiwanya seakan-akan mati, hanya tinggal doa sebagai pengikat harapan.

“Selama ini saya jarang bersyukur dengan nikmat tuhan. Tapi selepas kejadian itu, hidup saya seperti terhenti seketika. Dunia saya gelap sepenuhnya.

Selagi kita masih hidup, hargailah setiap nikmat. Sebab bila tuhan tarik satu sahaja nikmat, barulah kita tersedar betapa kita sering alpa.

“Ketika mata saya ditarik nikmatnya, saya benar-benar rasa dunia sudah berakhir. Trauma, takut, hilang arah. Saya reda jika penglihatan ditarik sepenuhnya, kerana mungkin itulah ujian yang harus saya terima,” katanya kepada HibGlam.

TRACIE menganggap insiden kecederaan mata sehingga hampir buta satu ketika dahulu sebagai satu teguran agar diri tidak lupa mensyukuri nikmat Tuhan.

Saat itu, wanita berusia 24 tahun tersebut merasakan tuhan menegurnya dengan cara paling pedih.

Ketika semua itu berlaku, seolah-olah tuhan berbisik: “Kau ambil mudah semua nikmat ini. Kau tak bersyukur. Jadi, aku tarik satu. Bagaimana rasanya?”

“Dalam hati, adakah saya akan buta selama-lamanya tapi saya hanya mampu berkata, ‘ya Tuhan, kalau ini yang Kau mahu, ambillah. Cuma berikan saya kekuatan’,” ujarnya.

Tambah pelakon putih gebu itu, kecederaan pada retina akibat hentakan bulu tangkis menyebabkan matanya berdarah dan penglihatannya gelap gelita.

“Mujurlah saya tidak perlu melakukan pembedahan, cuma rawatan rapi dengan pakar mata selama setahun. Doktor maklumkan keadaan yang saya alami itu jarang berlaku.

Retina mata koyak, pendarahan berlaku. Saya buta sementara hampir seminggu.

“Selepas itu penglihatan pulih sedikit demi sedikit, tapi doktor cakap, saiz mata saya tidak akan kembali normal dan akan sensitif,” dedahnya.

Hakikatnya, keajaiban berlaku apabila pemeriksaan terakhir mendapati matanya hampir kembali seperti sediakala, sesuatu yang membuatkan doktor sendiri terkejut.

Doktor kata, dia tak tahu apa saya buat, kes begitu jarang berlaku. Mata saya hampir sama macam normal.

“Saat itu saya tahu, bukan kerana apa-apa, tapi kerana saya benar-benar berserah kepada Tuhan,” jelasnya.

Diganggu ‘jantan’ gatal

Luka mata belum sembuh, ada seperkara lagi yang dikongsi Tracie apabila teruji dengan gangguan lain sepanjang menjadi anak seni.

SEMAKIN lama dalam industri, Tracie semakin sedar bahawa menjadi dewasa itu tidak mudah.

Hampir setiap hari dia menerima mesej tidak senonoh daripada individu tidak dikenali malah lebih jijik, ada yang sanggup menghubungi nombor pengurusnya semata-mata mahu mendengus suara penuh nafsu.

“Ada mesej, ada panggilan, malah ada yang merengek dengan suara menjijikkan.

Ada juga peminat terlalu obses, sampai menghubungi pengurus saya tengah malam. Semua itu merimaskan,” ujarnya.

Tambah pelakon kecil molek itu, pengurusnya Sean menjadi benteng pertama menangkis gangguan tersebut, namun pengalaman terbabit tetap membekaskan trauma.

“Awalnya saya terkejut, ‘culture shock’. Tapi lama-lama saya belajar untuk berhati-hati.

Tidak semua benda boleh dikongsi dalam media sosial. Ada yang wajar dikongsi, ada yang lebih baik disimpan. Sebab tidak semua orang mendoakan kejayaan kita,” tegasnya.

Perit mendepani dewasa

Meskipun tawaran seni dan rezeki semakin stabil, anak kelima daripada sembilan adik beradik itu sedar betapa peritnya menjadi dewasa dengan tanggungjawab serta komitmen.

“Kehidupan dan gaya hidup saya jauh lebih baik daripada dahulu, tapi banyak perkara perlu dipelajari. Dari kewangan hingga cukai, semuanya menyedarkan dewasa itu bukan mudah.

Menjadi dewasa dan selebriti memang tidak mudah, semua itu menuntut pelbagai pengorbanan yang saya konotasikan sebagai harga yang perlu dibayar.

“Orang nampak senang, tapi sebenarnya berat. Matlamat saya sekarang, saya mahu beli rumah sendiri, sekurang-kurangnya untuk keluarga.

“Biar mereka ada tempat selesa bila datang sini, tidak perlu menyewa lagi. Itulah impian saya,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok