Alhamdulillah, dia dah semakin okey.”
Demikian respons pelakon Azeva Natassha mengenai perkembangan terkini ibunya, pengarah dan penerbit Datuk A. Aida yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital.
Bagaimanapun, Azeva, 24, memaklumkan ibunya perlu sentiasa dipantau kerana masih bergantung kepada mesin sokongan hayat.
“Alhamdulillah dia (ibu) dah makin okey tapi masih bergantung dengan ‘life support’ (mesin sokongan hayat).
“Buat masa ini kena banyak pantau lagi,” katanya.
Menerusi perkongsian InstaStory, Azeva menzahirkan rasa dukacita dan merayu orang ramai untuk terus mendoakan kesembuhan ibunya.
“Dengan penuh rasa dukacita dan rendah hati, saya ingin memohon jasa baik semua untuk mendoakan ibu saya, Zaidah binti Awang (A.Aida) yang kini berada di ICU.
Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat-Nya, mengurniakan kesembuhan yang segera, menghapuskan segala sakit dan penderitaan serta memberikan kekuatan kepada beliau untuk kembali sihat.
“Semoga doa kita semua diperkenankan Allah dan ibu saya diberi peluang untuk terus bersama keluarga yang amat menyayanginya. Amin,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, A. Aida dilaporkan rebah selepas melakukan rawatan fisioterapi dan difahamkan baru dua hari menjalani pembedahan pada kedua-dua lututnya.
Begitupun, dia dikatakan dalam keadaan sihat selepas pembedahan.
Menurut seorang rakan karibnya, A. Aida terpaksa ditidurkan manakala punca tahap kesihatannya menurun belum didedahkan kepada umum. – HIBGLAM