‘Berdebar menanti perkembangan terkini A. Aida, saya sangat risau’

Meluahkan kesedihan, penyanyi dan pelakon Farahdhiya mengakui terkejut sehingga menggigil selepas dimaklumkan penerbit, Datuk A. Aida dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan, kelmarin.

Farahdhiya atau nama sebenarnya Nur Farahdhiya Mohd Amin, 41, berkata, sepanjang berkawan rapat, dia tidak pernah nampak pemilik A.Aida Productions itu sakit, sekali gus berharap dapat melawatnya segera.

Menggigil tangan masa dapat tahu berita ini sebab saya tak pernah nampak dia sakit. Kami sudah bersahabat lebih 15 tahun. Dia seperti kakak saya, kami cipta banyak kenangan bersama.

“Saya ada bercakap dengan A. Aida semalam, awak kelihatan baik seperti biasa, awak tidak bercakap apa-apa mengenai pembedahan lutut.

“Saya sangat risau mengenai awak, mata saya bengkak. Saya tak dapat berhenti berfikir dan doa saya sentiasa bersama awak. Berdebar menanti perkembangan awak. Tak sabar bertemu awak,” katanya dalam hantaran Instagram.

Sebelum itu menerusi perkongsian sama, Farahdhiya meminta orang ramai mendoakan kesejahteraan A. Aida supaya segera pulih seperti sedia kala.

“Saya nak minta tolong doakan kesembuhan buat kakakku, A. Aida. Doaku mengiringimu selalu kakak.

Saya tahu awak wanita yang kuat , awak dapat melaluinya kakak.

“Semoga Allah melindungimu dan sentiasa dalam rahmat-Nya,” ujarnya.

Terdahulu, A. Aida dilaporkan rebah selepas melakukan rawatan fisioterapi dan difahamkan dia baru dua hari menjalani pembedahan pada kedua-dua lututnya.

Begitupun, dia yang dikatakan dalam keadaan sihat selepas pembedahan secara tiba-tiba tidak sedarkan diri selepas sesi rawatan fisioterapi.

Menurut seorang rakan karibnya yang lain, A. Aida terpaksa ditidurkan, manakala punca tahap kesihatannya menurun belum didedahkan kepada umum.

Setakat ini belum ada sebarang perkembangan terbaru mengenai keadaan pemilik nama penuh Zaidah Awang, 55. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok