‘Aleesya taat belajar, ajak keluar makan pun tak nak’

PRIMADONA filem alaf baharu, Erra Fazira menegaskan tindakannya bercerita tentang kejayaan anak perempuannya, Engku Aleesya dalam bidang akademik bukan untuk menunjuk sebaliknya sekadar berkongsi kegembiraan secara umum.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, bagaimanapaun berkata, dia enggan terlalu terbuka dan kerap berkongsi mengenai kejayaan Aleesya, 16, kerana bimbang dengan reaksi dan penerimaan orang ramai terutama dalam media sosial.

“Rasa-rasanya saya tidaklah berkongsi terlalu banyak tentang keputusan peperiksaan anak sebab risau ada ‘mata mata’ yang kurang senang melihat hantaran sebegitu.

Saya cuma ucapkan tahniah secara umum. Sepatutnya lihat perkara itu sebagai satu benda yang positif jadikan semangat buat anak-anak.

“Tapi kalau orang itu mata dia ‘sakit’, maka itu hak dia untuk berkata-kata. Bagi saya, pilihlah yang positif dan semuanya berbalik kepada hati masing-masing,” katanya pada program riadah bersama media di Sepang, baru-baru ini.

Dalam pada itu, dia sempat berkongsi rahsia kejayaan Aleesya iaitu disiplin yang tinggi dan dorongan ibu bapa.

Menurut Erra, Aleesya merupakan seorang pelajar yang sangat fokus dan ‘taat’ pada jadual belajar.

“Pada awalnya saya dan bapanya memang didik dia untuk fokus belajar. Mula-mula memang agak ‘struggle’.

Tapi lama-kelamaan, Aleesya sendiri ada semangat tersebut sehingga sangat taat pada jadual belajar, saya bersyukur dengan sikap yang begitu.

“Ketaatan dia itu sehinggakan waktu Hari Raya pun tak nak beraya. Nak ajak dia keluar makan pun tak nak,” katanya lagi.

Terdahulu, Aleeysa atau nama sebenarnya Engku Aleesya Engku Emran menjadi bualan netizen selepad diumumkan menjadi contoh pelajar cemerlang apabila memperoleh 7A dalam semua subjek Peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).

Aleesya merupakan anak tunggal hasil perkahwinan Erra dengan usahawan, Engku Emran.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007 sebelum berpisah tujuh tahun kemudian. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok