‘Saya meraikan Orang Asli Pos Tohoi, bukan berkempen’  

ARTIS versatil, Elly Mazlein mengumumkan akan menarik diri daripada menyertai sebarang acara anugerah kerana mahu memberi peluang kepada wajah baharu.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, membuat kenyataan tersebut selepas ada netizen yang mendakwa dia bertemu masyarakat Orang Asli baru-baru ini untuk berkempen sempena Anugerah Bintang Popular (ABP).

Maaf anda silap. Saya buat ini untuk meraikan Orang Asli Pos Tohoi. Saya juga akan buat kenyataan hari ini dalam Instagram saya mengenai pengunduran diri dalam sebarang program berbentuk anugerah.

“Alhamdulillah saya pernah merasa menang dalam kategori Pengacara Paling Popular sebelum ini.

“Saya memberi ruang kepada pengacara lain. Saya? cukuplah sekadar pemenang di hati majmuk. Jelas? Jaga diri sahabat,” tulisnya.

Baru-baru ini Elly bersama Radio Era telah berkunjung ke perkampungan Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan sempena bertemu dengan peminatnya, Nora yang tular dalam media sosial kerana menyanyikan lagunya.

Kehadiran Elly di kampung tersebut mendapat sambutan hebat sehingga dia menitiskan air mata sewaktu memberikan ucapan kerana terharu.

Untuk rekod, Elly pernah memenangi trofi Pengacara TV Popular ABP pada 2023 dan itu merupakan kemenangan pertamanya di ABP sepanjang 25 tahun bergelar artis. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok