9
Pelakon Fauzi Nawawi meluahkan rasa kecewa terhadap layanan yang diterima ketika acara RX-Z Members di Stadium Gong Badak, Terengganu pada 22 dan 23 Ogos lalu walaupun hadir sebagai duta kepada sebuah jenama kaca mata.
Menurut Fauzi atau nama penuhnya Muhammad Fauzi Mohd. Nawawi, 52, memaklumkan tiada pengumuman dibuat mengenai kehadirannya sehingga peminat tidak berpeluang bertemu dengannya.
“Saya tak jangka pun nak naik pentas, cukup kalau umumkan lokasi saya di ‘booth’ supaya peminat tahu.
“Ramai peminat datang dari Sabah dan Sarawak, tapi kecewa sebab tak jumpa saya.
Waktu itu, telefon pun memang tiada liputan kerana kesesakan peserta-peserta dan juga pengunjung-pengunjung waktu itu dekat Stadium Gong Badak menyebabkan keadaan kami agak sukar,” katanya kepada HibGlam ketika sidang media baru-baru ini.
Tambah pelakon filem MALBATT: Misi Bakara itu, dia tidak mengharapkan layanan istimewa, sebaliknya hanya meminta sedikit penghargaan untuk mempromosikan barangan.
“Saya bukan nak disanjung, cuma minta sedikit penghargaan. Tak rugi pun kalau umum nama saya, tak sampai seminit pun, harap selepas ini penganjur lebih profesional.
“Kita sesama manusia boleh bertoleransi kerana macam kami pihak artis pun kita promosi tak berkira.
“Yang akan datang, insya-Allah, jika masih ada peluang dan ruang, kami tidak menolak untuk bekerjasama. Cuma, jadilah orang Melayu yang profesional, insya-Allah,” ujarnya.

SIDANG media rasmi XROOV Malaysia.
Sementara itu, pengasas XROOV, Rusydina Norman kesal apabila hak eksklusif yang dipersetujui dalam perjanjian dicabuli penganjur sendiri.
“Dalam perjanjian, hanya XROOV diberi hak eksklusif. Tapi semasa acara, ada penganjur sendiri memakai cermin mata jenama lain di pentas besar. Itu mencalar imej kami,” katanya.
Dia juga turut menarik diri daripada penajaan acara 125Z atas dakwaan penganjur hanya mementingkan keuntungan kewangan tanpa menghargai semangat kolaborasi.
“Kami tarik diri kerana mereka tidak mahu berkolaborasi, mereka hanya mahukan duit. Selepas buat perjanjian dan logo perdagangan semua siap, mereka pula batalkan.
“Kalau mereka tidak nampak ini sebagai kerjasama dua pihak, saya tidak boleh teruskan,” tegasnya. – HIBGLAM