Jangan suruh saya menyanyi, saya nak jadi pelakon filem gengster – Amayan

ANAK kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Ammar Ahyan atau Amayan, meluahkan minat untuk menceburi bidang lakonan.

Menurut Amayan, 17, dia sangat meminati filem Blood Brothers: Bara Naga lakonan Sharnaaz Ahmad dan menyukai dengan watak Ghaz lakonan aktor itu.

“Jangan suruh saya menyanyi. Saya memang tak suka menyanyi. Kalau anda lihat saya menyanyi itu maknanya bapa saya suruh.

“Kalau diberi pilihan saya lebih suka berlakon. Tetapi saya nak berlakon filem gengster sahaja, jangan suruh berlakon filem komedi. Saya nak nampak macho sebab itu nak berlakon filem gengster.

“Sebab baru-baru ini saya tonton filem Blood Brothers dan suka dengan watak Ghaz,” katanya ketika ditemui pada majlis Hi-Tea bersama Lembaga Zakat Selangor, di sini, semalam.

Tambahnya lagi, dia turut berkeinginan untuk menyimpan jambang seperti Sharnaaz, tetapi ibunya, Datin Shahida tidak menyukainya.

“Saya harap saya boleh simpan jambang, tetapi mak saya tak suka sangat,” jelasnya.

Nama Amayan ketika ini menjadi bualan ramai terutamanya dalam media sosial yang terhibur dengan personalitinya sewaktu membantu bapanya menjual secara dalam talian.

Namun kata Amayan, dia sama sekali tiada bakat untuk menjual produk kosmetik seperti bapanya.

“Kebanyakan masa saya sewaktu menjual kosmetik, saya hanya termenung. Saya tak tahu apa nak cakap. Saya tak tahu banyak maklumat dan saya seorang yang pelupa.

“Saya memang tak pandai bercakap tapi yang peliknya orang suruh jadi pengacara. Saya tak pandai menyanyi orang suruh saya menyanyi. Saya tak pandai masak orang suruh saya jadi cef.

“Saya sebenarnya nak jadi ahli perniagaan dan menjadi pemimpin yang boleh bawa masyarakat ke depan,” kongsinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok