BERDEPAN detik cemas, pempengaruh dan aktivis Farah Lee yang mengikuti misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza memaklumkan beberapa siri letupan kedengaran dalam pelayaran mereka ke zon kuning, awal pagi tadi.
Farah atau nama sebenarnya, Nurfarahin Romli, 32, berkata, dia yang menaiki bot Fair Lady dikejutkan bunyi letupan sekitar pukul 3 pagi dengan makluman awal serangan dipercayai untuk menakutkan konvoi mengakibatkan ada antara kapal mengalami kerosakan.
“Dalam pukul 3 pagi, saya tengah tidur dan dikejutkan dengan berita serangan berlaku ke atas beberapa bot. Difahamkan dalam empat, lima bot terjejas.
“Ada bot yang diserang melalui letupan udara dan serpihan yang jatuh ke bot membuatkan bot mengalami kerosakkan,” katanya menerusi perkongsian video di laman sosial.
Katanya lagi, semua peserta membabitkan 54 kapal layar dan bot yang menyertai delegasi keamanan itu kini dalam keadaan berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan.
Kami semua sudah dalam ‘mode standby’ dengan berpakaian jaket keselamatan, lampu di kepala dan kasut.
“Semua peserta juga disuruh tunggu dalam bot sebab serangan berlaku di luar dan kru semua tengah peka menunggu perkembangan lanjut.
“Doakan kami dan insya-Allah kekal tenang, saya serta semua yang berada sini selamat sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah dan Jurucakap Rasmi Sumud Nusantara Flotilla Command Center, Datuk Dr. Sani Araby Al-Kahery, berkata, flotilla kemanusiaan sekali lagi diuji di Laut Mediterranean apabila 15 dron rejim Israel berlegar rendah setiap 10 minit bagi operasi risikan.
Berlaku lapan letupan udara dilaporkan delegasi dan kapal berdekatan, dipercayai sebagai ugutan terbuka terhadap misi yang disertai 45 negara itu.
Seramai 34 delegasi Malaysia kekal dalam keadaan selamat dan bersiap siaga penuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, konvoi GSF kini di berada zon kelabu iaitu di perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Gaza selain belum memasuki zon kuning mahu pun merah.
Gangguan ini adalah kali keempat sejak pasukan belayar di Lautan Mediterranean dan diyakini sebagai usaha untuk menakutkan serta mengugut,” katanya.
Pada masa sama, satu video di laman rasmi Instagram Flotila menunjukkan letupan yang didakwa dirakam dari bot Spectre pada ’01:43 (GMT +3)’.
Selain Farah, misi antarabangsa yang bermula 31 Ogos lalu dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol yang membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza sebagai simbolik memecah sekatan Israel turut disertai artis iaitu Zizi Kirana, Ardell Aryana dan Heliza Helmi.
Pelayaran sarat cabaran itu kini dikatakan memasuki fasa paling penting selain disifatkan sebagai detik penentuan sama ada konvoi terbabit dapat memasuki destinasi akhir. – HIBGLAM